Kontraktor projek ECRL bebas GST, Najib rompak rakyat miskin

Kontraktor projek ECRL bebas GST, Najib rompak rakyat miskin

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menyifatkan pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap syarikat asing berkait projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh kerajaan sebagai membelakangkan rakyat dan mendahulukan pihak lain.

Kata beliau, pengecualian GST kepada syarikat besar seperti China Communications Construction Company (CCCC) yang melibatkan RM55 bilion bagi projek ECRL itu sama seperti merompak orang miskin dan beri keistimewaan kepada orang kaya, mereka yang paling akhir perlu dibantu.

“Apakah tindakan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, yang juga Perdana Menteri ini adil kepada rakyat Malaysia yang jelas tersisih akibat amalan ‘double standard’ (berat sebelah) ini?” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Jelas Lip Eng, sementara syarikat asing tidak dikenakan GST, mengapa rejim Barisan Nasional (BN) tidak terlebih dahulu mengambil berat terhadap rakyat sendiri.

Katanya, lapan kategori rakyat di negara ini patut juga dikecualikan GST iaitu, mereka yang bankrap, mereka yang gagal membayar hutang PTPTN, pelajar, orang kurang upaya (OKU), mereka yang berpendatan kecil, ibu tunggal, warga emas dan pesara.

Tambah beliau, wang yang dipungut melalui GST sepatutnya digunakan untuk menyediakan biasiswa kepada ramai anak muda Malaysia atau membantu ibu tunggal menjana pendapatan baharu.

“Ia juga boleh digunakan untuk menyediakan kemudahan lebih baik kepada mereka yang kurang upaya di negara ini atau untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal.

“Adakah Najib telah membuang slogan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?

“Apakah beliau tidak berhasrat untuk mengotakan janji dengan mengutamakan rakyat sehingga setiap kali pilihan raya umum tiba?” soal peguam DAP itu.

Kata beliau lagi, rakyat daripada lapan kategori ini sangat perlu diberikan pengecualian GST tetapi sehingga kini ia tidak dilakukan.

Jelasnya, waktunya telah tiba buat mereka ini, dan juga wakil mereka, bersuara dan menuntut agar Najib dan menteri-menteri kerajaan sementaranya menjawab sebelum sebelum tiba hari mengundi.

“Sekiranya gagal, mereka ini tentu tahu siapakah yang patut mereka undi pada hari mengundi nanti,” kata beliau.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0