Kontraktor tidak penuhi aspek teknikal KKM punca Hospital Wanita dan Kanak-kanak KL lewat beroperasi

Kontraktor tidak penuhi aspek teknikal KKM punca Hospital Wanita dan Kanak-kanak KL lewat beroperasi

Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur (WCH) yang masih gagal beroperasi seperti dijadualkan pada tahun lalu, adalah berpunca daripada syarikat konsesi tidak dapat memenuhi beberapa aspek teknikal yang diperakui oleh pakar perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian memandang serius isu ini dan syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan tidak akan mendapat sebarang bayaran selagi keseluruhan projek gagal disiapkan untuk diserahkan kepada KKM.

“Beberapa perkara teknikal pihak kejuruteraan sudah hampir menyiapkannya seperti Pusat Transplan Sel Stem Pediatrik (Bone Narrow Transplan Stem Cell Unit) yang masih tidak memenuhi beberapa aspek.

“Namun kontraktor berjanji akan melaksanakan dengan lebih baik dan segera mungkin selewatnya dalam tiga bulan lagi unit ini akan mempunyai kelengkapan yang mencukupi memenuhi aspek pelanggan (KKM),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan mengejut di tiga buah lokasi selain WCH, beliau juga melawat Klinik Kesihatan Kuala Lumpur dan Komplek Pakar dan Rawatan Harian HKL (SCACC) semalam.

Turut mengiringi beliau membuat lawatan mengejut itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noorhisham Abdullah, Pengarah HKL Datuk Dr Noor Akma Yusuf dan Pengarah WCH Dr Runiyuzam Abdul Malek.

Dr Dzulkefly Ahmad sedang mendengar penjelasan mengenai fasiliti di Pusat Transplan Stem Cell di WCH  dalam lawatan mengejut diadakan semalam.

Menurut Dr Dzulkefly lagi dengan fasiliti sedia ada ini, bertujuan untuk memudahkan rakyat yang berpendapatan rendah dan B40 untuk mendapatkan perkhidmatan doktor pakar di hospital kerajaan yang lebih selesa dan efisien.

“Ini bermaksud kerajaan akan meneruskan sistem penyampaian murah yang mana akan menjadikan hospital wanita dan kanak-kanak ini ada pulangannya untuk rakyat,” ujarnya.

Ketika ini, perkhidmatan untuk wanita dan kanak-kanak di HKL dijalankan oleh dua unit berbeza, iaitu Jabatan Obstetrik dan Ginekologi serta Institut Pediatrik.

WCH dijangka siap sepenuhnya dan boleh beroperasi pada  hujung tahun ini, semua perkhidmatan bersalin dan kanak-kanak di HKL akan berpindah ke kompleks bernilai RM848juta itu yang akan menempatkan 1000 katil sekiranya beroperasi kelak.

Beliau turut menjelaskan dalam lawatan mengejutnya itu sempat bertemu beberapa orang pesakit yang memberikan pelbagai maklum balas mengenai perkhidmatan dan kepakaran pegawai perubatan selain isu bekalan ubat-ubatan.

Dr Dzulkelfy bertemu dengan pakar farmasi di SCACC untuk bertanyakan pelaksanaan kerja di unit tersebut.

Ditanya mengenai catuan ubat-ubatan menyukarkan pesakit yang terpaksa berulang alik untuk mendapatkan bekalan ubat di farmasi, Dr Dzulkefly tidak menafikan ia sedikit menyukarkan pesakit, tetapi ia bertujuan untuk mengelakkan pembaziran oleh pesakit.

“Kerajaan begitu prihatin apabila menyediakan perkhidmatan dengan kadar bayaran antara RM1 dan RM5 dengan pemberian ubat-ubatan yang pelbagai mengikut keperluan pesakit.

“Saya bertemu dengan seorang pesakit yang memberitahu, dia tidak dapat bekalan ubat neurobion yang pernah diberikan farmasi sebelum ini kepadanya.

“Saya memahami ketika tertentu ada bekalan ubat mengalami kekurangan, Saya terpaksa akui bahagian farmasi KKM ada menyebutkan bajet yang sedikit bekalan ubat-ubatan mengalami kekurangan walaupun baru masuk pertengahan tahun (Jun).

“Memang ada masalah disitu tetapi saya yakin ia tidaklah sampai kesihatan pesakit terjejas.

“Dengan setiap kali mereka hadir ke hospital untuk mengambil bekalan secara tidak langsung mereka boleh berjumpa doktor dan ahli farmasi untuk membuat pemeriksaan jika perlu.

“Saya tahu bukan semua pesakit begitu (tidak diberi bekalan ubat atau dicatu) dan kita mahu pastikan kita dapat kembali untuk memberikan bekalan ubat-ubatan mengikut keperluan mereka,” ujarnya.

Difahamkan juga kini Unit Farmasi HKL turut menyediakan perkhidmatan pandu lalu  dan penghantaran bekalan melalui pos  secara dalam talian  kepada pesakit bagi mengatasi  kesukaran mereka  untuk berulang kali  datang ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Selain itu  beberapa projek pembangunan lain yang akan dilaksanakan di HKL termasuklah pembinaan Kompleks Dewan Bedah bersama Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad tambahan yang dijangka membabitkan kos RM198 juta.

Seorang pesakit Hassan Ali sedang mencuba mesin mengukur tekanan darah sambil diperhatikan Dr Dzulkefly  dan  Datuk Dr Noorhisham.

Masa menunggu, catuan dan tiada  bekalan ubat masih berlaku

Ketika media mengikuti bersama lawatan mengejut Menteri Kesihatan ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Jalan Fletcher, Titiwangsa, seorang pesakit yang ditemui Hassan Ali,65 yang hadir untuk mengambil ubat memuji fasiliti yang disediakan oleh KKM.

“Saya mengharapkan menteri dapat memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh rakyat sebelum ini dapat diteruskan.

” Klinik ini agak berbeza daripada klinik-klinik kesihatan yang pernah saya pergi sebelum ini kerana kelengkapannya yang ada di sini lebih moden,” ujarnya.

Klinik Kesihatan KL ini mula beroperasi sejak setahun lalu bagi mengantikan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur yang boleh merawat 3,000 pesakit dengan keupayaan tiga kali ganda berbanding klinik kesihatan biasa.

Ketika lawatan di Komplek Pakar dan Rawatan Harian HKL (SCACC) pula pesakit Chew Yew Beng,70, yang pernah menjalani pembedahan Gastrousus berkata, masa menunggu masih lama selain stok ubat tiada di kaunter farmasi.

“Saya jalani pembedahan di perut 20 tahun lalu di Hospital Ampang. Tetapi saya datang membuat pemeriksaan ulangan (medical checkup) di klinik ini, ada ubat yang saya tak dapat lagi kena beli di luar (farmasi),” ujarnya.

Tan Sri Omar Mohd Hashim

Ketika  lawatan di SACC ini, bertemu bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri  Omar Mohd  Hashim yang juga datang menerima rawatan di sinimemuji khidmat diberikan doktor pakar kepada pesakit dan fasiliti di hospital HKL yangsemakin efisien.

“Berbanding perkhidmatan dulu dan sekarang fasiliti amat baik sekali di HKL ini.

“Dengan perkhidmatan baik dan ubat yang bagus akan pastinya mengundang pesakit yang lebih ramai, kerana biasanya  lebih banyak fasiliti lebih ramai pesakit yang datang ke sini.

” Cuma masa menunggu biasanya dari berjumpa doktor hingga  mengambil ubat masih lagi lama,” ujarnya.

Melihat kepada kehadiran Dr Dzulkefly dalam lawatan mengejut itu, beliau berpesan agar menteri kesihatan yang baharu ini memastikan khidmat doktor pakar di setiap hospital di negara ini perlu ditambah.

“Perlu  banyakan lagi doktor pakar kalau boleh di setiap hospital di seluruh negara kerana untuk dapatkan khidmat doktor pakar di hospital dan klinik swasta mahal, saya pun ke sini bukan kerana ada pencen tetapi adanya doktor pakar terbaik di HKL,” ujarnya yang hadir bersama isterinya Puan Sri Aishah Mohd Zahir.

Di SACCH, seorang pesakit Zainol Abidin Maidin berkata beliau  kini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan ubat Neurobion kerana beliau yang menghidapi diabetis tidak lagi mendapat bekalan itu.

“Ubat neurobion hospital tidak bekalkan lagi kerana saya diberitahu oleh ahli farmasi tidak ada dibekalkan kerana peruntukan bekalan ubat dikurangkan.

“Saya sebagai pengundi PH saya sempat beritahu pada menteri kesihatan untuk membekalkan ubat neurobion kepada pesakit kerana kalau nak beli di luar sangat mahal,” ujarnya.

Dr Dzulkefly di hampiri Zainol Abidin Maidin (kanan) yang mahukan bekalan ubat neurobion dapat di bekalkan semula kepada farmasi HKL.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0