Kontroversi agihan zakat kepada bukan Islam

Kontroversi agihan zakat kepada bukan Islam

Beberapa  hari lalu telah muncul kontroversi mengenai agihan zakat kepada bukan Islam. Kontroversi itu muncul selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar institusi zakat melakukan pembaharuan, iaitu mengagihkan wang kutipan zakat kepada bukan Islam pada hujung bulan lalu.

Cadangan tersebut turut menarik perhatian Sultan Selangor dan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baginda bertitah : hasil kutipan zakat di Negeri Selangor akan kekal diagihkan kepada lapan golongan asnaf di kalangan umat Islam”.

Baginda turut melihat cadangan berkenaan itu ada kaitannya dengan keinginan politik individu tertentu ‘menggunakan isu-isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu”.

Cadangan seumpama itu bukanlah yang pertama kali berlaku di Malaysia. Bahkan ketika ‘politik baharu Malaysia’ mula digerakkan dan mencapai sedikit kejayaan, pandangan sedemikian telah mula dibuat, khususnya di negeri Selangor. Setelah beberapa bulan kepimpinan politik kerajaan Selangor bertukar, timbul cadangan segelintir politikus  liberal untuk meminda beberapa amalan statusquo yang telah lama dipraktikkan.

Atas nama dan perjuangan ‘kebersamaan’, mereka mendesak agar hak-hak yang ada dalam institusi Islam dikongsikan bersama dengan bukan Islam, termasuklah penyediaan peruntukan kepada lain-lain rumah ibadat dan pembahagian kutipan zakat yang dipungut daripada umat Islam. Alasan mereka ialah semua rakyat merupakan pembayar cukai dan kerana itu mereka berhak untuk mendapat agihan yang sama.

Cadangan tersebut menjadi semakin memuncak apabila kepimpinan politik Malaysia berubah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Ada desakan daripada kumpulan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan agar peruntukan kepada institusi-institusi Islam tidak dimasukkan ke dalam bajet dan hal ehwal agama Islam bukan menjadi urusan kerajaan persekutuan. Alasannya ialah hal ehwal agama Islam berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, iaitu di bawah Sultan atau Raja-raja Melayu.

Muncul pelbagai perdebatan hangat dan akhirnya kita mula menyaksikan beberapa perkara yang sebelumnya tidak berlaku telah mula diberikan sedikit kelonggaran secara langsung dan tidak langsung. Kerajaan mula menyalurkan peruntukan khas kepada institusi-institusi pendidikan vernakular dan bantuan kepada secara ‘one-off’ kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Rakyat Malaysia masih boleh menerima tindakan tersebut kerana ia turut melibatkan pembayar cukai oleh bukan Islam, tetapi mengenai agihan zakat kepada bukan Islam, ia tidak dapat diterima. Hujahnya, kutipan zakat itu diperoleh daripada individu Islam dan institusi-institusi yang ada kaitannya dengan umat Islam. Umpamanya Tabung Haji. Kesemua pencarum dalam TH itu adalah umat Islam.

TH memperoleh keuntungan daripada pelaburan modal dalam pelbagai entiti ekonomi, termasuk juga dalam syarikat-syarikat senaraian awam yang bukan dimiliki sepenuhnya atau diasaskan oleh umat Islam.  Keuntungan yang diperoleh itu kemudiannya diagihkan dalam bentuk zakat kepada pertubuhan-pertubuhan Islam, masjid-masjid (dalam bentuk pembelian van jenazah) dan sebagainya.

Bukan Islam melihat sumber zakat yang ada di Malaysia adalah besar. Misalnya, pada tahun 2018 kutipan zakat di Wilayah Persekutuan ialah RM 651.22 juta, Selangor RM 794 juta, Pahang RM 130 juta, Melaka RM 87.8 juta, Pulau Pinang RM 114.8 juta dan dianggarkan secara keseluruhan ia telah melangkaui RM 2 bilion.  Atas dasar itulah banyak pihak melihat bahawa sumber kewangan daripada zakat yang dikeluarkan oleh umat Islam dan entiti perniagaan berkaitan Islam adalah besar, dan ia perlu dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.

Sebahagian daripada golongan tersebut tidak melihat apa sebenarnya yang terkandung dalam falsafah zakat yang disyariatkan oleh Islam berbanding kutipan cukai yang dilakukan oleh kerajaan. Bagi umat Islam, mengeluarkan zakat adalah suatu kewajipan dan mesti dilakukan kerana ia adalah rukun ketiga sebagaimana diperintahkan oleh Allah SWT “hendaklah mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat “. (Surah al-Baqarah:277).

Dalam al-Qur’an, terdapat 82 ayat yang menerangkan maksud yang sama mengenai kewajipan tersebut. Kedudukan zakat adalah begitu penting dalam masyarakat Islam dan kerana itulah Allah SWT menegaskan: Wahai orang –orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah:34-35).

Selain ‘menyucikan jiwa’, zakat diwajibkan kepada umat Islam bagi membantu fakir miskin membebaskan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan membangun ekonomi umat Islam. Atas dasar itulah ada dalam kalangan cendekiawan Islam atau ulama berpendapat, pembahagian zakat hendaklah diutamakan kepada umat Islam kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu yang ada kaitannya dengan dakwah Islam. Ini bermakna, diharuskan membahagi-bahagikan zakat kepada bukan Islam dengan syarat, agihan tersebut untuk mendekatkan mereka kepada Islam.

Ada pun, Iman Syafi’e r.h. (wafat 204H) berpendirian ‘tidak dibolehkan) agihan zakat kepada bukan Islam. Sebagai rakyat Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafi’e mereka tetap tidak mahu kutipan zakat daripada umat Islam diagihkan kepada bukan Islam, kecuali mereka yang telah memeluk Islam (muallaf).  Menurut Imam Syafie r.a.: Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat”.( (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Sekumpulan orang ada mendakwa bahawa Rasullulllah SAW pernah ‘membahagi-bahagikan zakat kepada bukan Islam’ berdasarkan apa yang diberitahu  oleh Abu Sofyan Muawiyah:  “Demi Allah! Rasulullah SAW memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim). Sesetengah ulama menyatakan, apa yang diberikan oleh Rasullullah SAW tersebut bukanlah daripada wang zakat, tetapi dari ‘harta rampasa perang’ yang ada dalam perbendaharaan ketika itu.

Beberapa negeri sebenarnya sudah kenyataan yang jelas mengenai pembahagian zakat kepada bukan Islam. Misalnya, Majlis Fatwa Kebangsaan (Mesyuarat Bil.79) yang diadakan pada 6- 8 September 2007 menjelaskan: Pemerintah diharuskan memberi zakat kepada bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah”

Bagi Fatwa Negeri Kedah (Mesyuarat 23 September 2018), menerangkan berhubung peralatan kesihatan yang dibeli menerusi wang zakat daripada peruntukan asnaf fakir dan miskin “hanya boleh digunakan oleh pesakit Islam yang fakir dan miskin sahaja selaras dengan pendapat muktamad mazhab as-Syafi’e yang tidak membenarkan agihan zakat kepada bukan Islam’. Bagaimanapun, ia dibolehkan atas maslahah diri (nyawa) pesakit dengan syarat “mengutamakan pesakit Muslim yang fakir dan miskin yang memerlukan peralatan tersebut pada masa yang sama.” Ertinya, peralatan kesihatan tersebut dibolehkan untuk pesakit bukan Islam dan dalam kalangan umat Islam bukan fakir miskin sekiranya ‘tidak digunakan’ pada masa berkenaan.

Mufti Negeri Perlis mengeluarkan fatwa bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan manakala Mufti Negeri Perak menegaskan ‘ketika ini, orang Islam dikenal pasti paling ramai menjadi fakir dan miskin selain bantuan untuk kategori asnaf lain yang memerlukan sumbangan wang zakat berbanding mereka yang bukan Muslim. Jika sudah habis orang Islam (dalam semua kategori asnaf) terbela dan dibantu, baru kita boleh buka (bantuan zakat) kepada asnaf bukan Muslim.”

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi lazimnya isu zakat itu diuruskan oleh orang Islam dan dari orang Islam. Oleh itu, “sepatutnya orang Islam yang kena bagi orang Islam.” Khalil memberikan pandangan tersebut setelah mendapat tahu bahawa seorang wakil rakyat bukan Islam telah mengagihkan zakat kepada penduduk Islam di Kampung Heriot dan Bangkok Lane  (dalam DUN Pulau Tikus), Pulau Pinang  akhir Mei lalu. Agihan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan, apatah lagi ia membabitkan ahli politik bukan Islam dan dari sebuah parti yang banyak mengkritik dasar-dasar dan amalan umat Islam.

Dalam Surah al-Taubah ayat 58-59, Allah SWT berfirman (maksudnya): “dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alangkah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.

Berdasarkan pendirian tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa pemberian zakat berlangsung dalam kalangan umat Islam dan pembahagiannya hendaklah diutamakan kepada kumpulan asnaf dalam kalangan umat Islam. Zakat diharuskan diagihkan kepada bukan Islam dengan syarat, tidak ada lagi fakir miskin yang perlu dibantu.

Begitu juga dengan pelbagai kemudahan yang diperoleh menerusi wang zakat, keutamaan adalah untuk kumpulan asnaf Islam, bukan keseluruhan umat Islam. Sebahagian umat Islam memperoleh rezeki dan sebahagian daripada rezeki itu adalah ‘kepunyaan fakir miskin’ maka hak itulah yang dikembalikan dalam bentuk zakat.

Atas falsafah tersebutlah tidak sepatutnya ahli politik mempersoalkan kaedah pengagihan zakat yang mengutamakan asnaf dan berusaha melakukan reformasi zakat sedemikian rupa. Antara ‘pembahagian zakat dan politik’ adalah dua kontinuum yang berbeza keutamaannya, maka, tidaklah wajar mempolitikkan persoalan zakat hanya kerana ingin mencari populariti dalam kalangan bukan Islam.

 

*Penulis adalah Ketua Penerangan Puttra Malaysia