Kontroversi pasar baru Pasir Puteh, Husam minta MB turun berdialog

Kontroversi pasar baru Pasir Puteh, Husam minta MB turun berdialog

Kontroversi berhubung keengganan peniaga pasar besar Pasir Puteh yang enggan berpindah ke pasar baru yang disediakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mendapat perhatian penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.

Peniaga menunjukkan tapak jualan di pasar baru yang sempit kepada Datuk Husam Musa.

Kontroversi berhubung keengganan peniaga pasar besar Pasir Puteh yang enggan berpindah ke pasar baru yang disediakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mendapat perhatian penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa.

Dalam suratnya kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, beliau mencadangkan supaya memanggil mereka untuk berdialog dan berbincang bagi mendengar semua isu dan permasalahan serta cadangan penyelesaian yang terbaik dalam masa terdekat ini.

“Adalah juga berkesan, jika pihak Datuk dapat melawat sendiri pasar besar baru dan melihat kedudukan petak perniagaan pasar besar yang sedia ada bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang isu berbangkit.

“Adalah menjadi tugas saya untuk membawa isu ini ke pengetahuan dan tindakan segera pihak Datuk, demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri Kelantan,” katanya dalam satu surat yang disebarkan di media sosial.

Menurutnya, beliau telah melawat pasar besar Pasir Puteh dan menemubual beberapa orang peniaga ekoran isu keengganan mereka untuk berpindah ke pasar besar baru yang disediakan oleh MDPP.

“Rungutan utama mereka ialah pasar besar yang baru langsung tidak bersesuaian dengan keperluan mereka dari segi saiz keluasan ruang niaga yang disediakan berbanding ruang niaga mereka yang sedia ada di pasar besar sekarang.

“Ukuran ruang niaga sedia ada dan ruang niaga baru yang sangat kecil ada pada Persatuan Peniaga untuk rujukan Datuk.

“Kecuali, ruang niaga itu disusun semula dengan keluasan yang setara dan mencukupi untuk kesemua peniaga yang terlibat,” katanya yang juga Adun Amanah Salor.

Beliau yang juga telah mengadakan mesyuarat dengan pihak persatuan peniaga kecil pasar besar Pasir Puteh mahu langkah-langkah diambil oleh kerajaan negeri demi menjaga kebajikan dan kelangsungan perniagaan peniaga-peniaga kecil Melayu ini yang telah berniaga di situ selama puluhan tahun.

“Kerajaan negeri perlu membina satu pasar baru alternatif di atas tapak yang lebih strategik bagi memenuhi keperluan sebenar semua peniaga hasil arahan perpindahan tempat perniagaan mereka.

“Selain isu ruang yang terlalu kecil berbanding ruang niaga sedia ada, isu lain berkait dengan pasar baru ialah kedudukannya yang tidak strategik, mudah dilimpahi air bila hujan, hanya dua pintu keluar masuk, isu longkang yang tidak sempurna dan pendawaian yang membahayakan juga dibangkitkan,” katanya.

Beliau bersetuju dengan cadangan peniaga yang mahu satu pasar baru lain dibina jika sekiranya mereka masih dipaksa untuk berpindah dari pasar sekarang.

“Tapak cadangan yang benar-benar strategik telah pun dikenal pasti oleh persatuan peniaga pasar berkenaan,” katanya.

Husam ketika melawat pasar besar  Paser Puteh.

TAGS