Malaysia Dateline

Kontroversi premis judi haram: FB Majlis Bandaraya Shah Alam kena ‘serang’

Laman rasmi Facebook (FB) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dihujani kecaman orang ramai susulan pembongkaran video operasi premis perjudian haram dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Rata-rata warganet mendesak kepimpinan MBSA meletak jawatan sebagai tindakan berintegriti dan bertanggungjawab selepas dilihat gagal membanteras operasi perniagaan haram terbabit.

“Ahli Majlis, Datuk Bandar Shah Alam dan semua penguatkuasa MBSA sila letak jawatan,” tegas pengguna FB, Anne Azlina.

Terdapat juga yang menanda Pejabat Urustadbir Sultan Selangor yang menggunakan akaun FB atas nama Selangor Royal Office.

“Lihatlah Tuanku ketidaktelusan dan onar yang dibuat oleh pegawai-pegawai di negeri Tuanku. Ampunkan patik Tuanku,” adu Asraf Aizuddin Ahmad.

Tidak kurang ‘pedih’ apabila ada yang mendoakan kepada mana-mana pegawai dan anggota penguatkuasa MBSA yang korup.

“Ya Allah berilah balasan kepada pemakan rasuah yang sudah banyak merosakkan negara. Segeralah beri hidayah kepada mereka supaya mereka tahu azab kubur dan neraka bagi pemakan rasuah amat dahsyat,” tegas Nadim Nasution.

Sehingga hari ini, apa sahaja hantaran di FB MBSA menerima kecaman, sindiran serta desakan termasuk menuntut agar diselesaikan segera masalah judi, peniaga warga asing dan penjualan rokok seludup.

Dua video yang dimuat secara langsung dalam akaun Facebook Hot Burger Malaysia kelmarin berkenaan kewujudan premis perjudian haram dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh sehingga hari ini mendapat hampir enam juta tontonan.

Pentadbir Hot Burger Malaysia dalam video itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasa MBSA yang bertindak menyita gerai burger peniaga tempatan sebaliknya membiarkan penjaja asing dan kedai mesin kuda beroperasi sehingga jam 3 pagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak SPRM menyiasat akaun pegawai MBSA selain menggesa Ketua Polis Sungai Buloh ditukarkan.