Kontroversi sambutan Maulidur Rasul  

Bulan Rabiulawal Tahun Gajah mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad s.a.w. Justeru, kita memperingati Maulud Nabi s.a.w untuk mengungkapkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta.

Perayaan yang kita sambut adalah sebagai bukti cinta iaitu kenikmatan menyebut nama orang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi s.a.w wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Tetapi setelah didesak oleh orang ramai termasuk Sayidatina Fatimah r.a (semoga Allah meredhainya) akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.

Ketika azan dikumandangkan dan sampai kata “wa asyhadu anna Muhammad…” suara Bilal terhenti. Suaranya tersekat-sekat dan ia menangis sekuatnya.

Nama “Muhammad” kekasih yang baru saja kembali ke Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal. Bagi Bilal ia berhenti azan kerana nama itu mengingatkan dia kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Orang yang paling dekat dengan aku hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat ke atasku.

Tersentak hati dan rasa kesal kerana ada dalam kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi tersebut berjalan sekian lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu. Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali?

Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud. Dan kerana itu, Maulidur Rasul turut disambut di kebanyakan negara baik yang majoriti penduduknya Islam ataupun minoriti. Antaranya di Mesir, utara Iraq, Turki, Afrika Utara, China, Iran dan Maghribi.

Penulis teringat kisah pada akhir tahun 1920-an,ulama besar serambi mekah kelantan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Uthman atau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Selehor (datuk penulis), iaitu tokoh ulama yang sezaman dengan Tok Kenali dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar perdana waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Sesetengah pihak mengkategorikan sambutan tersebut sebagai bidaah dan sesat kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahiran baginda, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat.

Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana yang diwariskan oleh baginda. Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentangan sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dijalani dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah SWT sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda.

Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid’ah maka bid’ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid’ah itu mencintai Nabi.

“Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada diriku dan anakku,” kata seorang sahabat. ” Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tak akan dapat memendam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tetapi apabila aku teringat pada mati, aku merasa sangat sedih, sebab aku tahu bahawa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku apabila ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku bimbang tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana kedudukanku jauh lebih rendah daripada kedudukanmu.”

Rasullullah SAW begitu terharu dengan kata-kata itu. Awalnya, baginda tidak memberikan apa-apa ulasan sehinggalah malaikat Jibrail muncul menyampaikan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah An-Nisa:69)

Berdasarkan kisah tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa mencintai Rasullullah mempunyai kesan yang sangat luas dan mendalam, sama ada secara teologi, psikologi, sosiologi ataupun eskatologi. Ini kerana, Rasullullah ialah insan yang amat istimewa, seorang yang begitu besar mempengaruhi kehidupan manusia walaupun baginda sudah pun wafat 1,382 tahun lalu ketika berusia 63 tahun.

Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam. Mengapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut kepada seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.

Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunnahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad SAW tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira ‘hari Allah’ yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud:

“…dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah).” (Maksud al-Quran Surah Ibrahim, ayat 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan terhadap baginda pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda. Baginda sendiri pernah ditanya mengapa banginda berpuasa pada hari Isnin. Sabda baginda, “Itulah hari aku diliahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu difahami, walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepada baginda untuk kebaikan kita sendiri

Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagongan dan keprihatinan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Beliau adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruhnya.

Sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi s.a.w serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada beliau dan keluarganya.

Keluhuran budi Nabi s.a.w bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia” tetapi juga diakui oleh kawan dan lawan.

Malah ketika diminta untuk mengutuk Nabi s.a.w menjawab “aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat”.

Kenneth Crags seorang pendeta Kristian Anglikan kontemporari mengingatkan bahawa: Penilaian negatif terhadap diri Muhammad adalah salah satu kekeliruan yang harus dihindari. Malah keyakinan Kenneth Crags akan kebenaran agamanya tidak menghalang beliau untuk mengakui bahawa, sebagai seorang monotheis sejati yang memiliki misi kenabian, Muhammad yang menjalin hubungan dengan Tuhan melalui wahyu dan kitab suci telah berhasil menciptakan masyarakat beriman.

Sifat kasih sayang Nabi terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah-lembutnya serta perbuatan baiknya kepada makhluk Tuhan.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain daripada-Nya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Utusan-Nya, nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataan-Nya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk. (surah Al-A ‘Raaf ayat 158).

Keagungan Nabi s.a.w menjadikan beliau sebagai teladan yang baik sekali gus sebagai syaahid (pembawa berita gembira dan pemberi peringatan). Baginda menziarahi orang-orang sakit, bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.

Apabila berjabat tangan baginda tidak menarik tangan baginda selagi orang itu tidak melepaskan tangannya. Jika baginda melawati sekumpulan orang baginda akan sentiasa tersenyum dan akan menyapa dengan penuh kelembutan dan berhikmah.

Kesopanan baginda terhadap orang-orang kebanyakan dan sikap yang terpuji yang baginda tunjukkan terhadap orang-orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjung tinggi.

Dalam kesibukan baginda memimpin, baginda sentiasa menerima sesiapa pun yang datang dengan tangan terbuka dan lapang dada walaupun seorang Badwi yang kasar sifatnya.

Kecintaan dan kepatuhan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk mencintai dan mentaati Allah. Al-Quran menegaskan barang siapa mematuhi Rasullulah s.a.w bererti mematuhi Allah.Semuanya demi menjunjung perintah Allah dan menunjukkan penghambaan diri kepada-Nya.

*Kolumnis adalah  Pengarah Media dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)