Kontroversi sebuah universiti awam: Halalkah fitnah menutup zina?

Kontroversi sebuah universiti awam: Halalkah fitnah menutup zina?

Sebuah universiti yang berteraskan agama hari ini dilaporkan menyembunyikan perbuatan salah laku berkenaan seksual di antara pensyarah dan pelajarnya.

Hal itu menjadi hangat apabila kes yang berkaitan dengan salah laku tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac ini.

Dalam laporan yang diterima, pelajar Kulliyah Pendidikan telah mengadu kepada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Kulliyah Pendidikan, Afareez Abd Razak berkenaan perbuatan salah laku di antara dirinya bersama seorang pensyarah yang bernama Fuad Trayek.

Afareez ketika mendapat maklum tentang aduan itu telah membawa perkara tersebut kepada pihak Dekan yang dikenali sebagai Prof Nik dan kemudiannya ke Pejabat Penasihat Undang-undang.

Prof Nik bersama Afareez telah memanggil pensyarah yang berwarganegara Palestin itu untuk mendengar sendiri pengakuan salah laku tersebut seperti dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang.

Fuad dalam pertemuan tersebut telah mengaku mengadakan hubungan intim di antara dirinya bersama dengan pengadu.

Perkara itu telah dibawa kepada pihak Timbalan Rektor, Datuk Mizan Hitam dan Pejabat Penasihat Undang-undang serta perkara itu dalam siasatan.

Namun ketika siasatan berlangsung, Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling telah mendesak agar mesyuarat Ahli Lembaga Kulliyah perlu diadakan dengan Afareez sebagai salah seorang ahli lembaga.

Dalam mesyuarat itu terdapat pihak yang tidak bepuas hati dengan pengendalian aduan salah laku tersebut dan mereka adalah, Mohd Burhan Ibrahim Timbalan Dekan (Pasca Siswazah dan Penyelidikan), Joharry Othman (Ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling serta Ainol Madziah Zubairi Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik).

Ketika mesyuarat tersebut berlangsung, Afareez menegaskan bahawa Joharry telah meninggalkan salinan perbualan mesej peribadi Facebook antara Fuad dan pengadu.

Petisyen

Dalam salinan tersebut terdapat fitnah yang menyatakan bahawa Afareez adalah individu yang mempunyai hubungan dengan pengadu dan bukannya Fuad Trayek.

Selepas fitnah tersebut, sebuah petisyen ditandatangani oleh 18 individu berserta enam pelajar yang terbabit dalam petisyen berkenaan.

Petisyen berkenaan telah mendesak supaya Afareez dikenakan tindakan dikeluarkan daripada mengajar di Kulliyah Pendidikan universiti berkenaan.

Selepas petisyen dihantar dalam masa kira-kira enam bulan (dari tarikh petisyen dihantar) Afareez dipanggil mengadap ‘Remedial Grievance Committee’ untuk mendengar tuduhan salah laku yang dilemparkan pada beliau melalui petisyen tersebut.

Afareez telah membuat laporan polis serta melantik peguam cara untuk mengambil tindakan undang-undang.

Afareez yang juga penulis buku terkenal ‘Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain’ dan ‘Misteri Firaun’ serta tokoh yang sering diwawancara di televisyen berpendapat fitnah tersebut perlu diadili.

Fitnah terhadap Afareez dianggap sebagai suatu yang besar kerana selain meruntuhkan nama ia juga telah mendatangkan kesan terhadap emosi serta prestasi kerja beliau.