Malaysia Dateline

Kontroversi video semburit: Usah rosakkan PKR, PH dengan tangan kotor pembangkang

Semua penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) harus kekal positif serta tetap kekal reformis, gesa Setiausaha PKR Cabang Bagan, K.Thilai Kumar.

Menurutnya, agenda terbaru tangan-tangan kotor barisan pembangkang kini telah mulai menular ke seluruh pelosok negara.

Justeru itu soalnya, apakah ahli parti yang masih waras perlu mengikut rentak dan tari pembangkang.

“Kita harus bijak menepis agenda kotor dan jijik sebegini rupa yang sedang dimainkan oleh pembangkang.

“Atau apakah kita harus menjerit segalak-galaknya hanya kerana perbezaaan pandangan sesama ahli.

“Dalam situasi yang amat mencabar kini, maka seharusnya dibulatkan azam, tekad dan suara keramat yang telah dibina sejak sekian lama,” tegasnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penularan isu video lucah sejak kelmarin yang didakwa membabitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Thilai berkata, persoalan yang timbul apakah reformasi selama 20 tahun yang telah dibina hanya sebuah retorik ataupun gurau senda yang boleh dipermain-mainkan.

Tegasnya, sudah menjadi tanggungjawab semua pemimpin atasan sehingga ke akar umbi supaya bersatu dan mengukuhkan semula saf.

Sebaliknya, kata beliau, politik kotor dan fitnah harus ditolak kerana ianya tidak menjana minda yang bersih serta tidak membantu proses pembangunan negara yang amat disayangi.

Malah ujarnya, semua pihak terutama dalam PKR dan juga PH tidak harus terpedaya dan terpengaruh dengan gaya jijik pembangkang yang cuba meranapkan kekuatan yang ada sejak mulai menerajui kepimpinan negara.

Sehubungan itu serunya lagi keutuhan dan perpaduan mesti dikuatkan semaksima mungkin sama ada dalam PKR mahu pun PH dengan menolak segala dakyah, fitnah dan pembohongan yang hanya untuk memecahkan kekuatan kerajaan sedia ada.