Konvensyen Parti AMANAH Negara (AMANAH) kali ke-3 bermula pada hari ini selama tiga hari, yang pertama selepas parti itu menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh konvensyen bertemakan ‘Menggalas Amanah, Membina Negara’ dihadiri 1,600 perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar serta kira-kira 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara.
Perwakilan mula memenuhi Aman Jaya Convention Centre Casuarina seawal jam 7 pagi bagi mengambil tempat untuk mendengar pidato Presiden AMANAH Mohamad Sabu yang dijangka akan bermula jam 10 pag sebelum ia dibahaskan selama dua hari oleh perwakilan.
Konvensyen kali ini diadakan dalam suasana baharu selepas rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Harapan pada PRU14 lalu, kini rakyat sedang menilai prestasi kerajaan yang sudah tujuh bulan mentadbir negara.

Konvensyen kali ini bukan sahaja menjadi medan muhasabah dan permukiman kepada ahli-ahli malah juga dapat menjana ide-ide dan gagasan baru untuk AMANAH terus melangkah maju pada masa akan datang.
Terdahulu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat Amal Relief Malaysia (ARiF) yang disertai seramai 60 peserta yang memakai uniform rasmi berwarna hitam di perkarangan pusat konvensyen.
Antara tetamu yang hadir Menteri Besar perak Datuk Seri Faizal Azumu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, wakil PKR Tian Chua dan Exco Kerajaan Negeri Perak Yunus Jamshari.
Manakala pemerhati luar negara di wakili Parti Keadilan Sejahtera dari Indonesia, wakil kedutaan asing dan wakil NGO.

Beberapa acara khas yang dijangka akan berlangsung sepanjang konvensyen kali ini yang akan melibatkan AMANAH peringkat nasional, wanita, pemuda, Warda dan ARiF.
Dijadualkan perbahasan usul merangkumi isu ekonomi, sosial, politik, antarabangsa dan pendidikan akan diadakan pada Sabtu selepas selesai perbahasan pidato presiden.
Ucapan penangguhan dan penggulungan pimpinan AMANAH pada konvensyen kali ketiga itu dijangka bermula pada pukul 9 pagi, Ahad ini.




