Malaysia Dateline

Konvensyen AMANAH berjalan secara hibrid selepas tangguh kerana banjir

Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) 2021 diadakan secara hibrid, fizikal di Wisma Amanah Negara dan juga maya dari seluruh negara, berjalan hari ini.

Konvensyen ini diadakan berikutan penangguhan konvensyen yang sepatutnya berlangsung poada 19 Disember lepas akibat banjir besar di seluruh negara khasnya Selangor.

Turut serta berada di Wisma Amanah dalam konvensyen ini adalah Anthony Loke (Setiausaha Organisasi DAP), Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (Presiden UPKO).

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohamad Hatta Ramli ketika berucap berkata, konvensyen ditangguh dahulu kerana parti tidak sanggup meneruskannya ketika rakyat bertaruh nyawa berhadapan banjir besar ketika itu.

Padahal, katanya, pada malam sebelumnya Dewan Konvensyen telah dipersiapkan sepenuhnya untuk menyambut peserta konvensyen.

Ekoran penangguhan kali ini, kata beliau, konvensyen AMANAH akan diadakan dua kali tahun ini iaitu untuk 2021 dan 2022 yang akan ditentukan selepas ini.

Dalam konvensyen ini, empat kumpulan peserta berada di tempat berbeza iaitu dewan utama menempatkan pimpinan utama parti, kumpulan Pemuda dan kumpulan Wanita atau Awan dan Warda serta perwakilan lain di tempat masing-masing.

AMANAH, katanya, sedang berhadapan dengan lanskap baru politik negara yang perlu dibincangkan secara terbuka dan telus dalam konvensyen kali ini.

Oleh itu, semua perlu bersedia berbincang bagi menghadapi lanskap baharu ini khasnya dalam meramaikan rakan dan mengurangkan musuh.