Konvensyen AMANAH lulus usul akta tangani gejala rasisme, takfiri

Konvensyen AMANAH lulus usul akta tangani gejala rasisme, takfiri

Konvensyen AMANAH Nasional hari ini meluluskan usul mendesak kerajaan mengemukakan tiga akta khusus bagi menangani gejala prejudis, rasisme dan takfiri.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tiga cadangan akta itu adalah Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Kebencian Kaum dan Agama; RUU Kesaksamaan serta RUU Suruhanjaya Keharmonian Nasional.

Ujarnya, ketiga-tiga RUU itu penting memandangkan perkembangan bahayanya perkauman dan dogma agama sempit yang mengancam kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Dengan ketiga-tiga RUU ini, pihak yang menimbulkan kebencian agama dan kaum boleh dituduh telah melakukan jenayah.

“Pada waktu sama, Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan diberikan kesegaran baru manakala segala masalah cetusan kaum dan agama diharap dapat ditangani secara proaktif agar tidak merebak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan kesemua RUU tersebut tidak menggugat kebebasan bersuara selagi tidak digunakan untuk memporak-perandakan keamanan negara.

Usul tersebut kemudiannya disokong Perwakilan AMANAH Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli yang menyifatkan syor undang-undang itu sebagai anti diskriminasi.

Beliau berpendapat cadangan peruntukan itu tidak seperti usul pindaan dalam Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) yang dibawakan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tidak sama dengan usul dikemukakan Marang. Ini satu peluang keemasan kepada AMANAH untuk membuktikan sebelum jadi kerajaan, kita juga bisa pandai buat undang-undang,” ujarnya.

Aminuddin bagaimanapun berkata, syor ketiga-tiga RUU itu harus tidak mengulang apa yang berlaku pada sebahagian daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang kemudiannya terpaksa dipinda.

“Kalau diingat Enakmen Kanun Jenayah Syariah II, itu adalah enakmen terbaik pada waktu itu.

“Bila dibengkelkan, setengah daripada enakmen dipinda. Kita tidak mahu usul itu (ketiga-tiga RUU) begitu,” tegasnya.

Sehubungan itu, AMANAH Tanjung Malim berharap kesemua cadangan akta tersebut dibengkelkan melibatkan pakar perundangan termasuk dari luar AMANAH.

Usul diketengahkan Dr Mujahid juga disokong sepenuhnya perwakilan AMANAH Taiping, Naili dan Kuala Selangor, Pushpa Nagiah Vengdesa.

“Usul itu jelas menyerlahkan AMANAH sebagai sebuah parti Rahmatan Lil Alamin,” kata Pushpa yang merupakan bekas Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Selangor.

Sementara itu, Perwakilan AMANAH Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berpendapat Malaysia sudah cukup mempunyai banyak undang-undang.

“Kita paling banyak undang-undang di dunia ini tetapi masalah negara kita ketandusan satu badan perundangan yang bebas.

“Yang didakwa hari ini bukan yang meracuni pemikiran rakyat tetapi yang berhimpun secara aman dan melepaskan dua biji belon dalam satu bangunan,” tegas peguam itu.

Bagi Perwakilan Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil pula menyifatkan RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama perlu dibezakan dengan Akta Hasutan.

“Ini penting supaya undang-undang yang kita cadangkan tidak sama dengan Akta Hasutan,” tegasnya.

Beliau turut menyokong penuh usul dikemukakan Dr Mujahid tetapi berharap RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama diperhalusi.

“Kita seimbangkan dengan hak kebebasan bersuara,” tambahnya lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS