Malaysia Dateline

Konvensyen AMANAH Sarawak diadakan sederhana

Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak kali Ke-5 yang diadakan hari ini diadakan secara sederhana ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, konvensyen kali ini adalah mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Katanya, kehadiran perwakilan dan pemerhati telah dihadkan seramai 50 orang sahaja, malah perasmian oleh Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli adalah melalui sidang video.

“Kalau ikut perancangan, sememangnya konvensyen kali ini dijangka meriah apatah lagi ramai ahli bersemangat untuk hadir seperti tahun lalu dan sebelumnya.

“Namun akibat pandemik Covid-19, kami terpaksa menghadkan kehadiran perwakilan dan pemerhati serta ahli-ahli pada konvensyen kali ini.

“Justeru, saya mewakili kepimpinan negeri memohon maaf kepada yang tidak dapat hadir hari ini,” kata beliau ketika membentang laporan Setiausaha pada Konvensyen AMANAH Sarawak Ke-5 di Kuching.

Pada laporan itu, beliau telah memaklumkan segala program dan aktiviti yang dilaksanakan AMANAH Sarawak sepanjang tahun ini.

Fadillah turut memaklumkan bahawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti, AMANAH Sarawak bakal bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“In shaa Allah…kita akan meletakkan calon-calon orang muda dan anak tempatan selain cukup dikenali di kawasan masing-masing.

“Dan saya yakin, AMANAH mampu mencipta sejarah pada PRN12 nanti dengan meraih kemenangan di kerusi DUN ditandingi kelak,” tegas beliau lagi.

Pada PRN12 Sarawak nanti, AMANAH bakal bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu Demak Laut, Semariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.