Malaysia Dateline

Konvensyen AWAN buka tirai malam ini di Bangi Convention Centre

Konvensyen Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) kali keempat akan membuka tirainya malam ini yang bertempat di Bangi Convention Centre, Selangor.

Konvensyen sayap Wanita AMANAH yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok itu, akan dirasmikan oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Program yang dijadualkan akan berlangsung pada jam 8.30 malam ini akan dimulai dengan Ucapan Pengarah Konvensyen AWAN, Ucaptama Ketua AWAN Nasional, dan diiringi dengan Ucapan Perasmian Presiden Parti.

Program pada hari kedua pula akan melibatkan Mesyuarat Tahunan AWAN Nasional yang dijangka bermula seawal jam 8.30 pagi.

Pemilihan Jawatankuasa AWAN Nasional kali ini bakal menyaksikan persaingan daripada 45 calon bagi merebut 27 jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan pergerakan itu bagi sesi 2019-2022.

Untuk rekod, Dr Siti Mariah Mahmud dalam Konvensyen AWAN di Melaka pada tahun lalu mengumumkan tidak lagi akan bertanding merebut jawatan sebagai Ketua sayap Wanita AMANAH.

Sementara itu, Konvensyen sayap Pemuda AMANAH Nasional pula dijangka akan diadakan pada 4 dan 5 Disember depan di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda.