PIDATO KETUA WANITA
ANGKATAN WANITA AMANAH NEGARA (AWAN) NASIONAL
“Katakanlah : Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidup dan Matiku hanyalah untuk AlLah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
(Surah Al-An’am, 6 : 162)
SELAMAT DATANG PARA PERWAKILAN DAN PEMERHATI
1) Puja dan puji kesyukuran kita rafakkan ke hadrat AlLah di atas anugerah nikmat pertemuan dan kemudahan urusan sehingga kita dapat berhimpun dalam Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional Tahun 2021 pada kali ini.
2) Saya mengalu-alukan kehadiran para Tetamu Khas, sidang Perwakilan dan seluruh Pemerhati yang hadir dengan ucapan ahlan wasahlan wamarhaban bikum ke konvensyen secara hibrid yang pertama kali diadakan. Semoga segala usaha semua khususnya pasukan Sekretariat dan Jawatankuasa Urusetia Konvensyen peringkat nasional dan negeri dalam menyediakan apa sahaja keperluan konvensyen hibrid ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada sisi-Nya jua.
3) Semoga pandemik ini tidak mematahkan semangat juang semua dan dapat terus memotivasikan kita untuk mencurah khidmat bakti kepada parti dan negara yang kita cintai – Amanah & Malaysia.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah,
KESAN PANDEMIK COVID-19 TERHADAP KEMAJUAN WANITA
4) Hari ini, kita berkonvensyen dalam situasi negara masih “berperang” dengan pandemik COVID-19 yang telah meninggalkan kesan buruk bukan kepalang ke atas kurang lebih 32.75 juta populasi negara.
5) Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes pandemik COVID-19 dunia adalah sebanyak 270,419 juta kes, manakala dalam negara telah mencecah 2.7 juta kes, dan meragut lebih 5.31 juta nyawa di seluruh dunia dengan angka kematian di Malaysia adalah seramai 30,879 nyawa. Angka harian kes baharu juga masih berada pada kadar yang tinggi iaitu 3,490 orang (pada 12 Disember 2021).
6) Malaysia menduduki tempat tercorot dalam indeks oleh majalah The Economist yang mengukur sejauh mana prestasi negara-negara untuk kembali kepada keadaan normal selepas wabak COVID-19.
7) Pandemik COVID-19 bukan sahaja membawa krisis kesihatan kepada negara, malah meninggalkan kesan ekonomi dan sosial yang bukan sedikit. Ia membadai kepada bukan sahaja golongan dewasa, tetapi juga golongan kanak-kanak. Dilaporkan sekurang-kurangnya 1.5 juta kanak-kanak Malaysia menghadapi gangguan emosi, dan seramai 1,517 pelajar telah menjadi yatim atau yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa yang menjadi mangsa kepada wabak dunia ini.
8) Ratusan ribu rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, dan ramai lagi kehilangan sumber mata pencarian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP separuh masak dan Pengisytiharan Darurat angkara politik khianat telah menjerumuskan ekonomi negara ke kancah kehancuran yang tentunya perlu mengambil masa yang panjang untuk pulih.
9) Akibat pandemik COVID-19 juga ramai wanita dan gadis terdedah kepada risiko keganasan. Lebih kurang 1/3 daripada wanita dunia mengalami keganasan seksual dan fizikal. Dalam kes yang lebih buruk, dianggarkan 137 orang wanita di seluruh dunia telah dibunuh oleh pasangan terdekat atau ahli keluarga mereka setiap hari sepanjang tempoh pandemik. Di Malaysia sendiri, kerajaan melaporkan bagaimana Talian Kasih mengalami kesesakan akibat menerima demikian banyak panggilan kecemasan keganasan rumahtangga yang memerlukan bantuan.
10) Keganasan terhadap wanita adalah serius, berleluasa dan didorong oleh ketidaksaksamaan gender dalam pelbagai ruang dan peluang kehidupan. Adalah sangat penting untuk sekalian pejuang wanita memahami kondisi kritikal isu ini kerana ia akan membantu mencegah keganasan terhadap wanita. Selain itu, lebih 70 peratus wanita yang merupakan pekerja sektor kesihatan telah turut menanggung risiko jangkitan yang tinggi.
11) Secara keseluruhannya jelas, kesan pandemik COVID-19 terhadap kemajuan wanita itu sendiri sangat kritikal. Kerajaan khususnya melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu segera membentangkan agenda bertindak yang konstruktif untuk menangani segala kesan kritikal ini, yang tentunya bukan sekadar program one off ibarat “melepas batok di tangga”.
12) Susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak penghujung tahun 2019, Setiausaha Agung PBB, António Guterres telah merumuskan bahawa “the progress towards equal power and equal rights for women remains elusive. No country has achieved gender equality and the COVID-19 crisis threatens to erode the limited gains that have been made”.
13) Ini bertambah parah dengan dapatan Laporan Jurang Jantina Global tahun 2020 yang menganggarkan bahawa Malaysia memerlukan 150 tahun lagi untuk mencapai kesaksamaan gender (yakni menghapuskan jurang jantina) dan ini tentunya merupakan satu cabaran besar yang perlu kita sedari, akui sekaligus uruskan dengan penuh tanggungjawab dan terarah.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah sekalian,
PERJUANGAN MEMPOSISI WANITA DALAM PROSES POLITIK NEGARA
14) Perjuangan memperkasa dan memartabatkan wanita khususnya dalam posisi kepimpinan politik di seluruh dunia hakikatnya telah melalui jalan yang sukar dan penuh berliku. Pelbagai halangan mewarnai kembara perjuangan para wanita, sama ada halangan daripada sudut individu, sistemik mahupun institusi.
15) Sejak sekian lama wanita di seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia menghadapi diskriminasi sistemik, diskriminasi sejarah dan diskriminasi institusi yang mengakibatkan wanita tidak dapat maju dan membangun bersama seiring kemajuan dan pencapaian kaum lelaki sehingga kini.
16) Daripada sudut agama, Islam tidak pernah membezakan lelaki dan wanita sama ada dalam aspek pertanggungjawaban mahupun nilaian amalan dan perbuatan masing-masing. Hanyasanya yang membezakan kedua-duanya adalah pada nilaian Taqwa (Surah Al-Hujurat, 49 : 13), yang bersandar kepada Ilmu yang menerbitkan Iman. Al Quran acapkali mengulangi pertanyaan dan penegasan, bahawa tidaklah sama mereka yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Kepelbagaian warna kulit, bangsa, bahasa dan jantina itu adalah bukti kekuasaan dan kebijaksanaan AlLah azza wajalla (Surah Ar-Rum, 30 : 22).
17) Wanita diciptakan AlLah sebagai khalifah yang melengkapi bukan sahaja kehidupan lelaki, tetapi juga kehidupan dunia seluruhnya. Wanita memainkan peranan yang sangat besar dan signifikan pada kedudukannya sebagai Perempuan yang Berakhlaq dan Berkerjaya, Isteri yang Solehah, Ibu yang Pintar, Nenek yang Memberi Bimbingan dan Pemimpin serta Aktivis (Pekerja) yang Memberi Manfaat.
18) Dalam konteks kepimpinan politik pula, Malaysia merupakan sebuah negara yang masih cenderung dengan kepercayaan di mana lelaki memegang kuasa utama dan mendominasi peranan kepimpinan politik, kewibawaan moral, hak istimewa sosial dan kawalan ke atas harta benda. Sebilangan masyarakat patriarki juga bersifat patrilineal, yang bermaksud bahawa harta dan gelaran hanya layak diwarisi oleh kaum lelaki. Di pelbagai peringkat masyarakat, sikap dan budaya fikir tradisional sebegini malangnya masih terus segar berakar, meskipun telah banyak advokasi dan kempen-kempen kesedaran bagi memartabat dan hormat wanita dilaksanakan.
19) Hasil kajian, pengalaman dan penaakulan semasa menunjukkan terdapat tiga faktor utama yang menghalang kerancakan partisipasi wanita dalam bidang politik:
i) Diri Wanita Sendiri;
ii) Bias Pengundi; dan
iii) Bias Parti Politik
20) Selagi masyarakat umum masih berpegang kuat terhadap sistem sosial patriarki dan stereotaip gender tradisional, wanita Malaysia tidak akan maju dan tidak akan mampu berdaya saing dengan wanita-wanita di negara maju lain yang telah melalui proses reformasi dan konsolidasi lebih awal.
21) Ironinya, jika perkara ini terus dibiarkan berlaku, Malaysia juga keseluruhannya akan terhambat untuk maju dan tidak akan mampu berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain, termasuklah negara-negara serantau yang sudah maju ke hadapan dalam konteks kebijakan dasar serta strategi khusus untuk mencapai kesaksamaan gender (gender equality).
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian,
MENYATU KEKUATAN, MENGGEMBLENG KEBANGKITAN
“If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together.”
22) Kita semua yang berada dalam parti ini wajar menjadikan “Fastabiqul Khayrat” sebagai slogan untuk kita bersama-sama berlumba-lumba berbakti dan bukannya sebagai alasan untuk masing-masing bersaing kedudukan sehingga mengundang perpecahan. Jawatan adalah amanah dan bukanlah satu lambang kemegahan, mahupun trofi kebanggaan. Kita harus menyatu kekuatan dan bijak menguruskan sebarang perbezaan. Setiap kita harus bermuhasabah dan berlaku jujur tentang amanah yang kita dipertanggungjawabkan. Sebagai sebuah parti yang baru, penting untuk kita insafi bahawa semua kekuatan perlu disatukan, perbezaan yang ada wajar dimanfaatkan dan dijadikan kelebihan.
23) Kejayaan setiap daripada kita menemukan titik persefahaman dan memanfaatkan perbezaan sebagai peluang tentunya bakal menyemarakkan daya juang dan daya tahan kita dalam perjuangan bagi menggembleng kebangkitan. Keutamaan kita semestinya menyatukan segenap potensi bagi memastikan AWAN di semua peringkat sentiasa siap siaga, bermotivasi dan dapat mengkonsolidasi kekuatan, sekaligus menggembleng kebangkitan bagi memenangi PRU-15. Lebih penting lagi, kemampuan AWAN menterjemahkan kekuatan dalam gerak kerja berasaskan politik nilai, mendidik dan khidmat bakal memberi nafas baharu dalam perjuangan reformasi politik tanah air.
24) AWAN sebagai tonggak penting dalam pasukan kemenangan AMANAH harus menzahirkan tekad dalam bentuk tindakan khususnya dalam pelaksanaan gerak kerja organisasi yang ideal, yakni dengan konsisten menumpukan kepada prestasi, pencapaian dan keberhasilan, bukan semata-mata idea atau retorik, in shaa AlLah bakal memberi impak yang mendalam terhadap corak dan pandangan yang memperjuangkan aspirasi dan dinamisme perjuangan sekaligus membawa perubahan dalam nilai-nilai politik.
25) AWAN bersama-sama dengan wanita parti-parti gabungan Pakatan Harapan wajib senantiasa siaga walau di mana-mana peringkat diposisikan untuk menyumbang kepada kejayaan dan pengukuhan perjuangan, memberikan komitmen terbaik dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, sekaligus melakukan kerja-kerja dengan penuh keikhlasan, kematangan, kebersamaan dan kesepaduan sambil melaksanakan proses tambahbaik yang berterusan.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,
KETIDAKSTABILAN POLITIK ANGKARA SIAPA?
26) Ketidakstabilan politik negara yang berterusan berlaku adalah berpunca daripada kegagalan pihak-pihak yang kalah untuk menerima keputusan majoriti pengundi yang telah menolak mereka dalam pengundian PRU-14 yang lalu. Ia diburukkan lagi dengan usaha berterusan pembangkang selepas itu untuk memancing minat pihak-pihak tertentu agar berkhianat menumbangkan kerajaan sah yang diangkat rakyat melalui tindakan mengapi-apikan isu agama dan bangsa. Kerakusan merampas kuasa tanpa melalui proses dan sistem demokrasi berpilihan raya (yang seterusnya iaitu PRU-15), telah mengakibatkan negara bertukar Perdana Menteri sebanyak dua kali. Semua ini didalangi oleh pihak yang sama iaitu yang kalah dalam PRU-14 dan yang telah berkhianat menumbangkan kerajaan sendiri semata-mata bagi merebut jawatan Perdana Menteri ke-8.
27) Memanglah suatu yang amat malang buat Malaysia bilamana sebuah kerajaan telah dibina oleh 114 orang Ahli Parlimen daripada parti-parti yang Kalah dan Khianat, mengakibatkan seluruh rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa tidak akan wujud kestabilan politik yang sebenarnya sekurang-kurang pada masa ini.
Saudara saudari,
JALAN KE HADAPAN
28) Kita perlu membebaskan diri dan masyarakat kita daripada fahaman politik narsisme dan politik propaganda yang senantiasa memperalatkan prejudis kaum dan prejudis agama di tengah-tengah masyarakat majmuk dalam negara, sekaligus mendakyahkan kononnya hanya mereka sahaja pembela kepada melayu dan Islam.
29) Kita perlu merdeka daripada fahaman politik naungan khususnya elit-elit politik yang wewenangan mengenepikan mandat rakyat yang terhasil daripada keputusan PRU-14 yang lepas, bahkan bergerak lebih rakus memandulkan institusi legislatif negara, menodai keluhuran perlembagaan, merosakkan demokrasi berparlimen, bahkan tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan sepertimana yang telah mereka lakukan susulan daripada langkah politik khianat menumbangkan Pakatan Harapan.
PEMBUDAYAAN POLITIK NILAI, POLITIK MENDIDIK DAN POLITIK KHIDMAT
30) Sesungguhnya, tiada cara lain untuk kita memperbaiki wajah politik Malaysia yang hodoh dan bobrok ini selain membina semula masyarakat dan negara ini dengan teguh menggerakkan usaha menanamkan Politik Nilai, Politik Mendidik dan Politik Khidmat dalam kehidupan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini. Di pundak para wanita bernegara dan pemberani tergalas peranan besar bagi melahirkan ummah yang berintegriti, berakhlaq terpuji, amanah, bijaksana, saling hormat, saling memahami dan saling mengasihani antara satu sama lain melampaui beda bangsa, bahasa dan warna kulit di antara para warga.
31) Wanita perlu terus cekap berperanan menjadi agen pencetus dan pengimbang mandiri sosial serta jati diri manusia bagi memastikan pembinaan generasi manusia yang leluhur dapat dijayakan tidak kiralah kita berdiri di posisi mana.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah sekalian,
CITRA, CINTA DAN CITA WANITA AMANAH UNTUK MALAYSIA
32) Sebagai wanita kita perlu terus meraikan apa yang kita miliki dan berkongsi, serta berhenti membiarkan masyarakat fokus pada apa dan bagaimana kita barangkali berbeza. Apabila kita berjaya menemukan kekuatan dan fokus pada objektif itu, wanita akan lebih berjaya menghadirkan perubahan-perubahan dalam memimpin dan membangunkan diri, parti seterusnya negara.
33) Kita memerlukan pemimpin yang dapat menyatukan semua meski rencam dengan kepelbagaian, bukan sebaliknya memisahkan atau memecahbelahkan kita. Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar dapat membuka lebih banyak ruang untuk suara wanita didengar. Kita memerlukan pemimpin yang dapat mendemokrasikan perihal kisah siapa wanita sebagai entiti penting negara, bukan sebaliknya terus membiarkan kita kekal dalam stereotaip sosial yang merugikan, bahkan terpisuk kembali dalam nostalgia silam.
34) Yakinilah, wanita berpotensi mengubah cara penggunaan kuasa di dunia untuk kesejahteraan semua. AWAN tidak berminat dengan wanita yang mengambil alih paradigma kuasa lama. Kita percaya semua orang akan mendapat keuntungan apabila wanita tidak hanya menyertai lelaki di meja perundingan, tetapi sebaliknya membantu mereka menggubal dasar, merangka program dan menyusun sistem terdahulu yang bias dan pincang, sekaligus bersama-sama membuat sesuatu yang baharu dan saksama untuk kesejahteraan dan kemakmuran dunia.
35) AWAN mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama memberi tumpuan, penekanan dan keutamaan kepada pembudayaan politik nilai, politik mendidik dan politik khidmat. Sekaligus menolak dan meninggalkan politik propaganda, politik adu domba, politik fitnah dan politik kebencian kaum dan agama, yang sekian lama telah merosakkan pemikiran, hati budi dan kehidupan masyarakat, bahkan melambatkan proses sebenar pembangunan dan kemajuan negara.
Sidang konvensyen yang dikasihi filLah,
NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA
36) Adalah suatu yang sangat penting untuk kepimpinan politik generasi kini dan seterusnya generasi yang akan datang terbuka menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat. Tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan peraturan permainan (rule of the game) yang lebih kemas dan tuntas bagi membolehkan persaingan sihat berasaskan nilai, dan bukan lagi terhadap sentimen, propaganda dan emosi yang dimainkan daripada prejudis perkauman dan keagamaan. Prejudis kaum dan agama ini adalah satu bentuk politik narsisme yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat khususnya dalam abad ke-21 dan seterusnya, bahkan memungkinkan untuk Malaysia diheret jauh kembali ke belakang.
37) Saya percaya banyak perkara demi negara yang kita boleh perkemaskan sejujurnya. Politik seharusnya diangkat menjadi satu kerjaya professional yang dihormati dan disegani, bukan sebaliknya dipandang sebagai cukup jijik dan keji sepertimana yang berlaku pada hari ini. Kepimpinan politik generasi kini dan generasi seterusnya mesti berubah dan berjiwa lebih negarawan, menghormati disiplin dan organisasi parti dan pada masa yang sama terbuka kepada perbincangan serta kerjasama dengan semua pihak yang bersikap progresif dan objektif.
38) Untuk itulah kita menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Pakatan Harapan bersama Kerajaan Persekutuan dan menyokong cadangan agar diperkenalkan satu Akta Pemecatan Ahli Parlimen (Recall Act) bagi membolehkan rakyat menarik semula sokongan mereka kepada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat sekaligus mengkhianati mandat yang telah diberikan sama ada oleh parti yang mereka wakili dan rakyat yang telah mengundi.
39) Manakala Kaukus Reformasi Parlimen Dan Demokrasi Pelbagai Parti pada hemat saya adalah satu langkah ke hadapan bagi menyusun semula peranan setiap entiti Demokrasi Berparlimen untuk sama-sama memainkan fungsi dan tanggungjawab memastikan kelangsungan sistem demokrasi dan pematuhan kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukunegara.
40) Walaubagaimanapun, kita mencadangkan kepada Pakatan Harapan agar dapat menyemak semula MoU Transformasi Dan Kestabilan Politik ini daripada semasa ke semasa dan tidak teragak-agak untuk menamatkannya jika ternyata kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menjayakannya.
EMPAT TUMPUAN WAJAR SEGERA DITANGANI DALAM RANGKA KERJA PEMERKASAAN GENDER RMK-12
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah,
41) Meneliti pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) oleh Perdana Menteri pada 27 September yang lepas, khususnya dua perenggan terkait usaha memperkasakan gender dalam pembangunan serta rangka kerja bagi memperkasakan gender yang akan diperkenalkan, AWAN sekali lagi ingin mengulangi pendirian bahawa pelaksanaan apa jua inisiatif di bawah RMK-12 harus menitikberatkan keperluan kritikal golongan wanita dan kanak-kanak agar tidak tercicir khususnya daripada agenda pembangunan dan pemulihan negara pasca pandemik COVID-19.
42) Kerajaan sewajarnya memberikan keutamaan kepada tindakan segera berkaitan isu-isu kritikal pengupayaan dan perlindungan wanita, kanak-kanak dan institusi keluarga khususnya dalam 4 tumpuan berikut :
i. Ibu-ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara diberikan hak yang sama dengan bapa warganegara Malaysia dalam penganugerahan kerakyatan kepada anak-anak mereka. Tiada erti laungan ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri, jika Perdana Menteri sendiri tidak berusaha untuk memastikan tafsiran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan mengambil kira masa depan anak-anak Malaysia ini. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ secara dasar harus berfokus kepada kesejahteraan dan kestabilan institusi keluarga dan bukannya untuk terus memisahkan anak-anak daripada pelukan ibu dan ayah mereka.
AWAN ingin mengingatkan Kerajaan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk mendukung semangat Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
ii. Menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual di Dewan Rakyat supaya akta tersebut boleh diluluskan secepat mungkin dan memperkenalkan lebih banyak perlindungan daripada gangguan seksual. Sehingga kini, walaupun setelah lama berunding, Rang Undang-undang Gangguan Seksual masih belum dilihat kelibatnya di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diluluskan agar segala gangguan seksual yang lama dihadapi dan diharungi oleh wanita dan lelaki akan mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya.
iii. Melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender di semua negeri dalam Malaysia. Komitmen Kerajaan dalam pemerkasaan gender seperti yang digariskan dalam RMK-12 tersebut juga harus diiringi dengan iltizam politik untuk menggunakan piawaian antarabangsa melindungi hak wanita dan kanak-kanak sementelah Malaysia telah menandatangani konvensyen-konvensyen antarabangsa iaitu Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women) (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child) (CRC).
iv. Melaksanakan Dasar Keluarga Selamat di Malaysia sepertimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan menyediakan lebih banyak inisiatif langsung bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga khususnya bagi mendapatkan bantuan.
43) AWAN percaya bahawa pengupayaan wanita harus memangkin kejayaan inisiatif-inisiatif RMK-12 serta agenda transformasi yang digagaskan dalam MoU Transformasi Pentadbiran dan Kestabilan Politik, dan suara setiap warga Malaysia adalah penting dan dapat dibawa ke meja rundingan untuk dimeterai seterusnya dilaksanakan. Mana-mana negara yang tidak memberikan keutamaan dan kepentingan kepada peranan, kedudukan, hak dan suara wanita, hakikatnya sudahpun gagal dalam agenda untuk mengembangkan dan membangun agenda negara makmur, inklusif, mampan.
44) Kesemua gagasan ini juga akan kita rangkumkan secara komprehensif dengan penyediaan Dokumen Agenda Wanita Impian Malaysia sebagai satu Tawaran Pakatan Harapan Untuk Wanita Malaysia dalam PRU-15, in shaa AlLah dengan komitmen dan kerjasama semua pasukan kepimpinan wanita dalam gabungan Pakatan Harapan.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati,
PARADIGMA BAHARU KEPIMPINAN WANITA UNTUK SEMUA
“When things do not go your way, remember that every challenge — every adversity — contains within it the seeds of opportunity and growth.”
45) Perkara yang paling penting untuk dimuhasabah oleh setiap wanita khususnya mereka yang bergelar pemimpin wanita adalah jika mereka berpeluang mempunyai kedudukan kepemimpinan dan kuasa, dan mereka tidak menggunakannya dengan cara yang berbeza, sebaliknya sekadar mengulangi watak stereotaip kepimpinan sedia ada, maka wanita itu sebenarnya terlepas dan melepaskan peluang untuk melakukan dan memulakan sesuatu perubahan dalam komunitas dan negaranya.
46) Ini kerana, tujuan wanita memiliki kekuasaan tidak hanya untuk kepentingan peribadi atau kepentingan sesebuah parti atau sesebuah organisasi yang diwakilinya, tetapi sebagai wadah dan instrument untuk menggunakan pengaruh wanita, kelainan cara dan citra wanita, kekuatan intuitif (gerak rasa) wanita dan perbezaan fitrah wanita untuk membimbing, memberdayakan, dan seterusnya mengangkat martabat mereka yang tidak memiliki kekuatan untuk melakukannya.
47) Adalah suatu kerugian yang besar jika kita punya sejumlah wanita dalam kepemimpinan tetapi masih gagal membawa perubahan dengan cara mengedepankan semua yang diperjuangkan wanita sejak sekian lama ke meja rundingan yakni pemesyuaratan.
48) Sebagai wanita, kita perlu terus meraikan apa yang kita (wanita) miliki dan berkongsi, sekaligus berhenti membiarkan masyarakat fokus pada apa dan bagaimana kita barangkali berbeza, sama ada daripada sudut wadah mahupun pendekatan.
49) Apabila wanita berjaya menemukan kekuatan pada keinginan, keutamaan dan perjuangan yang sama itu, percayalah wanita akan lebih berjaya menghadirkan perubahan-perubahan bersama kerangka paradigma baharu memimpin sekaligus membangunkan negara.
“We need to reshape our own perception of how we view ourselves.
We have to step up as women and take the lead.”
WANITA TERPIMPIN WANITA BERWASPADA
50) Sebagai seorang individu, kita semua bertanggungjawab ke atas pemikiran dan tindakan kita sendiri – sepanjang hari, setiap hari. Sebagai wanita yang peduli, kita boleh memilih untuk menyatakan sikap serta pendirian kita ke atas sekurang-kurangnya tiga perkara :
i. Perkara-perkara dan apa jua aspek yang tidak memberi manfaat atau bias dan berat sebelah terhadap masyarakat wanita;
ii. Sebarang ketidakadilan berasaskan gender yang kerap dan masih terus berakar dalam masyarakat; dan
iii. Apa jua ketidakterangkuman dalam dasar-dasar dan program-program yang berlangsung sekitar masyarakat sama ada yang dianjurkan oleh komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan, pihak kerajaan negeri ataupun pihak kerajaan persekutuan.
51) Kita semua juga boleh memilih untuk membantu membuka, meningkatkan dan meluaskan lagi ruang dan peluang bagi mencipta lebih banyak pencapaian wanita dalam pelbagai aspek kehidupan mecakupi sosioekonomi, pendidikan dan politik. Bergerak secara kolektif, kita semua dapat membantu mewujudkan dunia yang inklusif, sekaligus menghormati dan memartabatkan wanita selayaknya sebagai insan bermaruah dan mulia.
52) Dunia yang lebih inklusif memerlukan transformasi bagaimana kita yakni wanita berperilaku, berfikir dan menyatakan sikap serta pendirian bukan hanya terhadap ketidakadilan sistemik, tetapi juga terhadap bias diri kita sendiri yang terbina tanpa sedar kesan kolektif sosial dan budaya persekitaran kita.
53) Memacu perubahan masyarakat apatah lagi dalam keadaan sistem patriakinya yang masih segar mengakar, dan mencabar status quo yang sudah separuh abad membudaya – memang bukanlah suatu perkara yang pernah mudah! Peralihan budaya tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi bahagian terbaik mengenai perubahan adalah bahawa ia boleh bermula dengan satu orang pada setiap masa, dan satu orang itu boleh saja adalah setiap wanita – yakni saya, anda dan kita semua!
54) Bermula daripada diri setiap wanita yang merupakan separuh daripada populasi dunia dan setiap negara, wanita harus mengorak langkah membina keilmuan, keyakinan – memilih untuk mencabar, merubah kelaziman dan konvensional sosiobudaya yang memisukkan wanita di satu sudut jauh daripada potensi sebenar dirinya. Semua ini adalah garapan usaha bagi mengangkat kembali martabat dan karomah kemuliaan insan dan ilmu pengetahuan serta pengalaman berharga pada tempat sewajarnya ia diletakkan. Wanita yang berilmu dan punya pengalaman emas tidak akan pernah sama dengan lelaki dan wanita yang tidak berilmu dan tidak menguasai kehidupannya.
55) Untuk ini saya berpesan kepada semua wanita yang saya kasihi akan enam langkah memupuk kemajuan dan perubahan diri masing-masing :
i. Teruslah mendidik diri dan pastikan diri senantiasa terdidik.
ii. Senantiasa intropeksi (muhasabah) diri sendiri bagi meluruskan sikap dan pemikiran wanita daripada kecenderungan bias dan prasangka yang lama tertanam, sekaligus membolehkan wanita melihat segala situasi secara lebih objektif.
iii. Elak membuat andaian dan pertanyaan yang silap berasas daripada kaedah fikir stereotaip yang tertanam lama dalam jiwa. Sebilangan besar daripada kita dewasa dengan peraturan jantina dan stereotaip sepenuhnya tertanam dalam jiwa kita, dan tanpa kita sedari ia sangat mempengaruhi kebiasaan, andaian, dan kepercayaan kita tentang bagaimana kita bekerja, berinteraksi, bersosial dan membuat keputusan. Berfikirlah di luar kotak melampaui konvensional dan kebiasaan yang kita dibesarkan.
iv. Belajar Mengajukan Pertanyaan Yang Tepat Dan Hormat. Satu-satunya cara untuk menjadi sekutu dalam isu-isu yang diperjuangkan adalah dengan mengajukan soalan yang tepat dan memberi perhatian terhadap respon khalayak. Adalah mustahil untuk menjangkakan keperluan dan harapan semua orang, tetapi keupayaan mengemukakan soalan tepat dengan penuh hormat, memungkinkan kita untuk menarik kebersamaan dan sokongan terhadap hal-hal yang kita lontarkan.
v. Bersedia menghadapi cabaran dan ketidakselesaan akibat memilih jalan-jalan perjuangan. Kesedaran dan kawalan diri sangat penting untuk kita mengembangkan empati dan sensitiviti gender, sama ada daripada sudut equality mahupun equity.
“Challenge and adversity are meant to help you know who you are.
Storms hit your weakness, but unlock your true strength.”
vi. Akui Tanggungjawab. Setiap orang kadang-kadang melakukan kesilapan ketika menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, tetapi yang paling penting adalah mengakui kesilapan dan mengambil pengajaran daripadanya. Sekiranya kita terbuka untuk meningkatkan kemajuan diri, berjuang dan menyatakan sikap dan pendirian kita, maka kita juga mesti siap untuk menguruskan setiap cabaran, mehnah dan tribulasi perjuangan di hadapan kita dengan penuh kematangan, keberanian dan senantiasa bersikap positif untuk maju.
Akhawat Perwakilan yang dirahmati AlLah sekalian,
56) Perjuangan kita bukan hanya seputar diri, masyarakat dan negara kita. Cakna kita harus upaya melihat situasi semasa ummah di seluruh dunia, apatah lagi perjuangan yang dipahat dengan ikatan aqidah dan kemanusiaan sejagat.
SOLIDARITI AWAN – AL QUDS
57) Bumi Palestin kini dan selamanya adalah paksi kepada keamanan atau kegawatan kepada politik dunia. Apa yang kita lihat hari ini adalah sebahagian makar dan tipu daya bangsa Yahudi Zionis. Hakikatnya, Palestin bukan sahaja perihal aqidah dan sebuah jihad yang mesti diimani dan dihidupkan, tetapi soal kemanusiaan, keadilan dan kemerdekaan bangsa Palestin yang mesti ditegakkan.
58) Negara-negara Arab terperdaya dengan helah Barat menormalisasikan hubungan dengan Negara Haram Israel. Sebagai balasan, negara-negara Arab terbabit dijanjikan keuntungan ekonomi seperti bantuan membina bandar raya mega di UAE.
59) Rakyat Palestin hari ini boleh dikatakan bersendirian mempertahankan tanah air. Mereka terpaksa melawan kereta kebal dan pesawat tempur dengan ketulan-ketulan batu ketika negara-negara Arab di sekelilingnya sudah pun menjadi rakan kepada penjajah mereka, iaitu Israel. Bukan itu sahaja, kebanyakan umat Islam yang hadir ke Palestin tidaklah bertujuan membebaskan Al-Quds tetapi sebaliknya semata-mata menziarahi Masjidil Aqsa. Selain tertipu dengan normalisasi, umat Islam juga terpedaya dengan pakej-pakej pelancongan kemanusiaan. Tanpa sedar, ia telah melalaikan kita daripada sejujurnya membantu pembebasan bumi suci Al-Quds yang merupakan milik umat Islam.
60) Yang mempertahankan Palestin kini hanyalah pasukan pertahanan Palestin di bawah kepimpinan Hamas berpusat di Gaza yang membalas bedilan roket ke Tel Aviv, dan majoriti penduduk Palestin bersama mereka.
61) RasululLah ﷺ telah menyatakan bahawa penduduk Baitul Maqdis (Palestin) yang mempertahankan buminya tidak mungkin akan dapat dikecewakan oleh mereka yang menyerah kalah pada akhir zaman.
“Masih ada secara berterusan dalam kalangan umatku kumpulan yang menegakkan agama (Islam) dengan gagah perkasa menghadapi musuh, sehingga tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan, sehingga datangnya ketetapan daripada AlLah (membinasakan musuh dan memberikan kemenangan) dalam keadaan mereka meneruskan perjuangan (mereka tidak berganjak).
Lalu para sahabat bertanyakan RasululLah ﷺ : ‘Di manakah mereka berada?’
Sabda RasululLah ﷺ: ‘Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.’”
(Hadis Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)
62) Peringatan ini sewajarnya menginsafkan kita yang beriman dan mencintai Al-Quds. Sebagai solidariti kita bersama perjuangan pembebasan Palestin dan Al-Quds, AWAN ingin mengulangi gesaan agar Malaysia segera mengambil pendirian selari dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama, perjanjian perdagangan dan normalisasi bersama rejim Zionis Israel. Negara ini sebaliknya harus memperbanyakkan hubungan dagang dengan Palestin dan negara-negara yang bersekutu dengan wilayah dijajah tersebut.
63) AWAN mengambil maklum akan hasrat rejim Zionis yang menyatakan secara terbuka mereka sedang mengusahakan kerjasama perdagangan dengan negara-negara majoriti umat Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Justeru, pendirian Kerajaan Malaysia terhadap isu ini adalah dituntut segera.
64) Menjalinkan kerjasama dan pakatan perdagangan bersama rejim Israel seolah-olah kita meredai jenayah, kezaliman dan penjajahan yang dilakukan ke atas penduduk dan kedaulatan Palestin. Sebaliknya, Malaysia harus mempertingkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala dengan Palestin. Berdasarkan rekod, secara purata nilai import Palestin dari Malaysia hanya kira-kira RM1.8 juta setahun, justeru adalah tepat dan wajar sekiranya Malaysia mengambil langkah segera memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Palestin bagi merancakkan perdagangan dua hala dengan tarif perdagangan yang bersesuaian.
65) Sekiranya Malaysia mengambil langkah berani menolak hubungan perdagangan atau apa jua bentuk normalisasi dengan rejim Zionis, tidaklah bermakna negara ini bersifat anti semitik atau anti Yahudi, tetapi konsisten dengan dasar luar negara yang selama ini sememangya tidak mengiktiraf entiti haram Israel.
66) Agenda normalisasi hakikatnya agenda halus, sulit dan licik ke arah memperkukuhkan kedudukan rejim haram Israel, sekaligus percubaan mereka mendapatkan pengiktirafan dunia Islam terhadap kedaulatan entiti haram Zionis sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa. Bersetuju dan bersekongkol menjayakan agenda halus itu samalah seperti memberikan jaminan keselamatan terhadap penjajah dan penjenayah kejam untuk mereka memperluaskan kuasa penjajahan ke atas negara-negara dan umat Islam melalui strategi ekonomi dan diplomatik.
67) Apa sahaja yang dinamakan perjanjian damai, persepakatan, “deal of century” dan normalisasi bersama Israel adalah jenayah besar mencakupi jenayah terhadap hak-hak AlLah dan Rasul-Nya, jenayah terhadap hak bumi dan rakyat Palestin, jenayah terhadap hak ummah dan hak para syuhada sepanjang sejarah sejak zaman Umar Al-Khattab yang bertanggungjawab membukanya, zaman pembebasan Masjidil Aqsa oleh Solahudin Al-Ayubi dan terhadap kebangkitan rakyat Palestin sepanjang zaman.
MEMPERBAIKI KELESTARIAN LINGKUNGAN
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) AlLah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah Ash-Shura, 42 : 30)
Sidang konvensyen yang dirahmati AlLah,
68) AlLah menciptakan bumi lengkap dengan peraturan yang sangat hebat. Sungai-sungai yang mengalir memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Sebarang kacau ganggu terhadap fitrah, sunnatullah dan sistem ini, akan mengakibatkan munculnya pelbagai bencana alam yang bukan sedikit.
69) Sikap sambil lewa terhadap penjagaan ekosistem alam termasuk kerancakan akitiviti penggondolan gunung, bukit dan hutan demi mengaut keuntungan misalnya akan mendatangkan akibat kerosakan alam dan seterusnya kehilangan nyawa.
70) Sisa kimia yang dibuang ke dalam sungai mengakibatkan hidupan air musnah. Udara persekitaran terdedah kepada pelbagai bentuk pencemaran. Firman AlLah dalam al-Quran bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana AlLah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum, 30 : 41)
71) Jelas, segala kerosakan yang berlaku di darat mahupun di lautan berpunca daripada perbuatan manusia sendiri akibat kegagagalan memahami dan menjiwai prinsip Rahmat kepada sekalian alam yang menjadi misi utama Baginda ﷺ diutuskan ke bumi. Inilah misi besar kita dalam perjuangan Amanah yang kita dukungi bersama. Misi Rahmah Amanah adalah untuk kesejahteraan semua meskipun daripada latar ataupun lingkungan pelbagai dan berbeza.
KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama AlLah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah AlLah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)” (Surah Hud, 11 : 118 -119)
72) Kepelbagaian merupakan sunnatullah sebagaimana yang dilantunkan dalam ayat-ayat ini. Kepelbagaian diciptakan dengan hikmah sebagai manifestasi keagungan AlLah , hikmah wujudnya kepelbagaian agama adalah supaya Islam dapat membuktikan dan melaksanakan Rahmatnya melalui interaksi yang penuh dengan kejujuran dan kesantunan. Namun tempoh enam dasawarsa kemerdekaan negara ternyata masih tidak mampu meleraikan polarisasi kaum dan agama yang sekian lama mendominasi politik tanah air, didorong survival politik berasaskan retorika agama dan ketuanan Melayu yang berhasil membenam realiti kemajmukan di Malaysia.
73) Lanskap kehidupan bernegara yang dilatari kemajmukan dan kepelbagaian ini seharusnya ditanggapi dari sudut pandang kemanusiaan, melangkaui faham kepuakan kaum dan agama yang sempit, malah seharusnya tidak lagi relevan dalam suasana semasa. Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan adalah sebahagian daripada teras Maqasid As-Shari’ah yang mesti dinikmati bersama dalam konteks suasana kepelbagaian kaum, agama dan budaya oleh semua warganegara Malaysia.
74) Berpaksikan nilai-nilai rahmah dan keadilan sosial, AWAN dan Amanah khususnya harus tampil sebagai wadah politik yang membingkai kesatuan dengan menyantuni perbezaan serta mencari titik persamaan dan persefahaman sesama warga.
75) Kepelbagaian ini adalah cabaran yang harus kita sahut bagi merealisasikan hakikat rahmah Islam dan menghayati semangat hidup kepelbagaian dalam bingkai kesatuan ini termasuklah dalam aspek perkongsian kuasa yang mampu menghasilkan situasi menang bersama. Prasangka dan prejudis sewajarnya tiada tempat dalam kehidupan bernegara sekiranya teladan unggul RasululLah ﷺ dicontohi ummah hari ini, yakni bagaimana Baginda ﷺ menunjukkan keterbukaan dan toleransi kepada wujudnya pelbagai agama malah melaksanakan dasar hormat menghormati dalam kebebasan beragama.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah,
IHSAN UNTUK INSAN
“Educating the mind without educating the heart is no education at all.” — Aristotle
76) Agama bukanlah tongkat sakti yang dapat mengubah sesuatu dalam sekelip mata. Agama memerlukan sistem operasional untuk dijadikan pengajaran, penghayatan dan kemahiran untuk digunakan bagi membina insan yang sempurna.
77) Menurut al-Quran, salah satu ciri orang yang bertaqwa adalah orang yang selalu berbuat IHSAN dalam kehidupan sehariannya. Dari sebanyak enam belas kali ayat dalam al Quran yang mengandungi kalimah ‘AlLah mencintai’, terdapat lima di antaranya disandarkan kepada Orang-orang Yang Berbuat Ihsan ataupun “Muhsinin”.
78) Ulama tafsir, al-Raghib al-Ashfahani menafsirkan ihsan itu sebagai tindakan melimpahkan kenikmatan atau kebajikan kepada pihak lain baik secara fizikal mahupun spiritual. Ketundukan manusia secara tulus ikhlas kepada AlLah juga termasuk dalam pengertian ihsan sebagaimana firman AlLah yang bermaksud : “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada AlLah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) AlLah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.” (Surah An-Nisa’, 4 : 125).
79) Pemberian maaf oleh seseorang kepada pihak lain yang bersalah juga disebut sebagai ihsan. AlLah berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), AlLah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, 3 : 134)
80) Dialog di antara Malaikat Jibril dengan Nabi ﷺ juga menjelaskan maksud ihsan : “Apakah itu Ihsan? Baginda ﷺ menjawab: ‘Sesungguhnya kamu beribadat kepada AlLah seolah-olah kamu melihatNya, walaupun kamu tidak melihatNya, akan tetapi AlLah melihat kamu.'” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
81) Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah merumuskan hadis ini sebagai memperlihatkan kesempurnaan iman dan kesedaran rohani yang sangat tinggi, juga memperlihatkan rasa cinta dan pengenalan manusia kepada AlLah yang sangat tinggi. Bahkan al-Jauziyah menambah betapa Ihsan itu memiliki tiga tingkatan iaitu pertama kebaikan dalam niatnya, kedua kebaikan dalam sikap dan perilaku, dan ketiga kebaikan dalam waktu. Pada tingkat yang paling tinggi, ihsan itu sendiri memperlihatkan kematangan tauhid, ajaran Islam yang paling fundamental. Tauhid adalah kunci syurga. Maka, tidak ada balasan ihsan kecuali syurga yang penuh kenikmatan dengan mengaitkannya dengan firman AlLah yang bermaksud: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga.” (Surah Ar-Rahman, 55 : 60)
82) Ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan AlLah semata-mata, malah ihsan juga merangkumi perbuatan dan perlakuan sesama manusia, sama ada bersangkutan perkara duniawi atau ukhrawi. RasululLah ﷺ bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya AlLah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis Riwayat Muslim)
83) Demikianlah konsep ihsan yang perlu difahami, dihayati serta dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan apatahlagi perjuangan kita. Penghayatan secara menyeluruh terhadap konsep ihsan membolehkan manusia mencapai matlamat yang diimpikan ke arah melahirkan individu dan pasukan bertaqwa. Pembinaan individu dan pasukan bertaqwa dalam perjuangan yang sarat dengan ujian dan cabaran ini adalah sangat penting. Ia membezakan akauntabiliti seorang pejuang dengan individu awam yang lain.
Bersama-sama kita mempersiapkan individu dan pasukan yang terbaik untuk memimpin negara dan ummah. Firman AlLah yang bermaksud:
“Negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’, 34: 15)
Saudara Saudari sekalian,
PENGHAYATAN DISIPLIN DAN INTEGRITI ORGANISASI
Firman AlLah dalam al Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya AlLah mencintai orang-orang yang berjuang pada jalan AlLah dalam barisan yang teratur (tersusun), seumpama batu-bata sebuah bangunan yang tersusun kukuh.“ (Surah As-Saff, 61: 4)
84) Dua aspek penting pengajaran daripada ayat ini ialah; pertama, tuntutan AlLah betapa perlunya penyusunan kerja yang rapi dan kukuh, ibarat batu-bata yang tersusun rapi yang menjadi tunggak kepada keutuhan sesebuah bangunan. Kedua, AlLah akan melimpahkan rahmat-Nya kepada setiap yang memposisikan diri mereka ibarat batu-batu yang tersusun memperkukuhkan sesebuah binaan.
85) Batu-bata yang tersusun rapi merupakan paksi kepada tertegaknya bangunan yang teguh dan kukuh. Secara sendiri, batu-bata hanyalah ketulan batu yang tidak menampakkan apa-apa gambaran sebuah bangunan, tetapi apabila ianya disusun dengan baik, maka akan tertegaklah sebuah binaan bangunan yang hebat.
86) Hakikat yang lebih penting untuk difahami, bukan sahaja batu-bata itu perlu disusun secara rapi dan kukuh, malah kualiti batu-bata itu sendiri pun mestilah teruji. Bangunan boleh rebah atau cacat, bukan hanya kerana penyusunan tidak rapi, bahkan kehancuran bila-bila masa sahaja boleh berlaku seandainya batu-bata itu sendiripun rapuh atau tidak berkualiti. Firman AlLah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi AlLah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As-Saff, 61: 2-3)
87) Islam yang menjadi rahmat kepada sekalian alam ini sesungguhnya menekankan pentingnya pengislahan peringkat individu. Individu yang berposisi seumpama batu-bata dalam organisasi perlu meningkatkan kualiti diri. Jangan hanya beridealisme atau tahu berkata-kata, sebaliknya setiap idealisme itu hendaklah diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan, penghayatan dan disiplin berorganisasi.
Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah,
CABARAN NORMA BAHARU PRU-15
88) Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka pada 20 November lalu dan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berlangsung hari ini hakikatnya menghidangkan realiti getir norma baharu pilihan raya yang harus kita depani menjelang PRU-15. Tiada ceramah-ceramah mega, rapat umum mahupun ceramah kelompok, tiada kempen bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan walkabout, misalnya, bukan sahaja menyekat penyebaran maklumat kepada para pengundi malah menjejaskan kehangatan suasana pilihan raya umum yang sewajarnya menjadi suatu pesta meraikan hak-hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan.
89) Tanpa menafikan keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) pilihan raya tatkala situasi wabak COVID-19 masih memperlihatkan pola penularan yang tidak menentu di seluruh dunia apatah lagi kemunculan varian-varian baharu, pelaksanaan SOP-SOP dengan tidak berlandaskan data dan sains terzahir melalui peraturan-peraturan tidak masuk akal sehinggakan memakai jaket berlambang parti politik malah boleh dikompaun! SOP-SOP yang dirangka tanpa melalui proses libat urus bersama semua pemegang taruh dan tanpa mengambil kira input daripada parti-parti politik di kedua-dua belah pihak ini, selain mengekang kebebasan berkempen, ternyata memberikan kelebihan kepada parti-parti dan calon-calon asal atau incumbent dalam mempertahankan kerusi masing-masing. Kepincangan ini diburukkan lagi dengan penguatkuasaan SOP ‘antara dua darjat’ sekaligus menzahirkan niat asal mengekang kemaraan Pakatan Harapan dalam meraih undi.
90) AWAN menolak pelaksanaan SOP yang bersifat mengekang perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil menggunakan tiket pandemik bagi menghalalkan percubaan merenggut hak-hak rakyat dan parti-parti politik berpartisipasi dalam pilihan raya sebagaimana tuntutan Perlembagaan yang berpaksikan Demokrasi Berparlimen. Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan Keluarga Malaysia ini hakikatnya cuba menggunakan kesempatan ini untuk menyulitkan kempen gerak kerja parti lawan dalam pilihan raya, jelas hanya meneruskan stail pentadbiran autokratik kerajaan Perikatan Nasional yang tidak segan silu memperalatkan institusi-institusi demokrasi negara yang sewajarnya bersifat bebas dan tidak berpihak, demi mempertahankan kuasa.
91) Walau bagaimanapun, amat penting bagi Pakatan Harapan dan Amanah khususnya untuk mengadaptasi strategi gerak kerja norma baharu yang lebih rapi, kemas dan tersusun berbanding strategi-strategi tradisi dalam mendepani cabaran PRU-15 dengan SOP norma baharu ini. Pada saat para pengundi lebih berwaspada dalam menghadapi risiko wabak, ditambah pula dengan terhakisnya kepercayaan rakyat akan proses pilihan raya natijah politik khianat oleh politikus rakus, ternyata cabaran untuk melonjakkan peratusan keluar mengundi adalah suatu cabaran yang real lantas menuntut paradigma segar mendekati pengundi.
92) Amanah sebagai sebuah parti politik yang mendukung Keluhuran Perlembagaan wajib melipatgandakan usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti proses pilihan raya sebagai satu-satunya pilihan demokratik dalam menentukan mandat rakyat. Tiada pilihan lain bagi kita selain berinovasi dan memanfaatkan kemudahan digital bukan sahaja dari aspek media dan komunikasi tetapi aspek-aspek pengurusan data dan penyusunan strategi. Penerokaan saluran penyebaran maklumat baharu, perubahan corak berkempen, penggunaan media massa serta media sosial harus menjadi asas gerak kerja sebagai kaedah-kaedah penting meraih undi.
SEGERAKAN PERUBAHAN
Victorious warriors win first and then go to war, while defeated warriors go to war first and then seek to win.” — Sun Tzu, The Art of War
93) Rentetan perkembangan politik semasa dan beberapa siri pilihan raya umum negeri, saya mengajak kita semua untuk menyikapi realiti ini sebagai losing a battle to win the war – tewas satu pertempuran sebelum memenangi satu peperangan besar, yakni lebih awal kita dihadapkan dengan realiti yang pahit sewajarnya lebih cepat kita memperkemaskan gerak kerja organisasi serta keberkesanan jentera operasi pilihan raya lebih-lebih lagi di peringkat akar umbi.
94) Namun andainya tiada perubahan menyeluruh dilakukan, tidak mustahil kekalahan yang lebih besar bakal menimpa. Lantas keupayaan Pakatan Harapan tampil dengan naratif yang lebih segar dan relevan, dengan merealisasikan aspirasi sebagai khemah besar kepada semua parti pembangkang bagi mengimbangi keterdesakan kebanyakan rakyat terhadap pemulihan ekonomi dan kestabilan politik, di samping kejayaan menggarap sentimen ketidakpuasan rakyat terhadap kebobrokan penguasa untuk langsung diterjemah ke peti-peti undi bakal menjadi kunci yang signifikan dalam menentukan kemenangan dalam PRU-15. Tiada pilihan lain bagi Pakatan Harapan melainkan harus segera mengemukakan gagasan baharu dan tawaran yang didasari reformasi institusi sejajar dengan idealisme pembentukan Pakatan Harapan, di samping terus mengekalkan dominasi dalam menjuarai isu-isu periuk nasi rakyat.
95) Momentum gerak kerja bersepadu Pakatan Harapan sebagai suatu jentera yang bergerak seiring secara kolektif di semua peringkat sehingga di akar umbi harus dimulakan segera, termasuk rundingan kerusi dan pelantikan calon wajar segera dimuktamadkan agar calon-calon yang bakal bertanding dapat mula membina jalinan tempatan dan bekerja dari sekarang khususnya dengan tuntutan penyesuaian kempen norma baharu.
MAJU TERUS!
96) Akhir sekali, pesanan saya kepada semua kepimpinan Wanita Amanah di segenap peringkat di seluruh negara; pandang semua dengan penuh kasih sayang, ihsan dan kepedulian. Senantiasa majukan diri dengan mengekalkan fikrah dan fitrah yang positif. Memastikan wanita-wanita kita terus bermotivasi tinggi, setiap pemimpin wanita itu sendiri perlu terlebih dahulu memastikan diri masing-masing terus bermotivasi. Ia bermula dengan kefahaman yang betul tentang perjuangan, keupayaan menekuni prinsip dan disiplin organisasi secara cemerlang, dan kesiagaan menguruskan cabaran-cabaran yang akan ditempuhi sepanjang jalan-jalan perjuangan dengan Jiwa Taqwa. Jangan pernah mendambakan setiap laluan dan perhentian kita akan ada permaidani merah indah, atau barangkali haruman segar kasturi, itu jauh daripada sunnah perjuangan dan sunnah orang-orang berjuang.
97) Ingatlah, perjuangan besar dan berat kita ini adalah tentang usaha kolektif dan konstruktif memerdekakan diri dan generasi hadapan daripada kegagalan masa lalu dan masa kini. Sedangkan menurut Buya Hamka, “kemerdekaan itu ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu engkau ketahui, dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipanmu kepada orang lain.” Juga katanya, “Kita telah menang kerana keberanian. Tetapi itulah baru perjuangan yang pertama. Kemerdekaan barulah berisi bilamana keberanian semangat diiringi oleh keberanian budi.”
98) Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dirahmati AlLah, Keberanian Budi itu adalah pada kesanggupan dan keupayaan kita menzahirkan Iman, Ihsan dan Itqan dalam segala usaha dan perjuangan kita bagi memerdekakan setiap jiwa dan minda anak-anak Malaysia dan anak-anak Dunia.
“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada AlLah” (Surah Ali Imran, 3 : 159)
Semoga semua dirahmati Allah. Kepada AlLah jua bertumpu segala Do’a, Usaha dan Tawakkal kita.
Selamat berkonvensyen, sesungguhnya mati itu motivasi, maju terus!
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.