Malaysia Dateline

Konvensyen jadi pemangkin kemenangan PH pada PRU14, kata MP Batu Gajah

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar menyifatkan konvensyen Pakatan Harapan (PH) kelmarin telah membawa gabungan itu ke tahap persediaan lebih tinggi dan juga sebagai pemangkin bagi PH mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menurut beliau, antara perkara penting yang dapat membantu kemenangan PH pada konvensyen berkenaan ialah pengumuman calon Perdana Menteri (PM) Timbalan Perdana Menteri (TPM) PH, selesainya pembahagian kerusi Parlimen antara parti komponen serta tawaran yang menjadi asas menifesto PH kelak.

V. Sivakumar

“Bukan sahaja sekadar itu, majlis konvesyen itu juga telah menampilkan pemimpin-pemimpin utama yang berhujah dengan penuh semangat.

“Semua ini akan mendorong ahli-ahli DAP, PKR, Bersatu dan AMANAH untuk terus berjuang dengan tahap komitmen yang tinggi. Setiap parti akan menggerakkan jentera pilihan raya dengan segera.

“Persiapan untuk pertembungan Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir telah bermula secara terang-terang. Inilah peluang terbaik dan terakhir untuk membawa perubahan pemerintahan di negara kita,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu.

Kata beliau lagi, jika peluang keemasan ini tidak digunakan dengan sebaik mungkin, kita akan kehilangan peluang untuk menawan Putrajaya buat selama-lamanya.

“Pakatan Harapan akan memberi nafas baru menghidupkan semangat kesetiakawanan antara empat parti komponen yang akan berjuang bersama-sama untuk menumbangkan rejim Barisan Nasional (BN) yang kejam.

“Konvensyen PH telah membuktikan bahawa empat parti komponen boleh bekerjasama dengan persefahaman dalam menumbangkan kerajaan kleptokrasi Najib Razak,” katanya.