
Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak akan dibatalkan jika isu Azmin tidak diselesaikan
Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak yang dijadualkan pada 23 November ini akan dibatalkan sekiranya isu pembatalan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak diselesaikan secara adil.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Sarawak, Baru Bian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Baru Bian, isu yang menimpa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu perlu segera diselesaikan secara adil dengan mengambil kira lunas-lunas demokrasi.
Beliau yang mewakili MPN Sarawak berpendirian bahawa, kesan daripada keputusan terburu-buru dalam membatalkan jemputan tersebut, telah menyebabkan demokrasi dalam Keadilan dikuburkan secara terang-terangan.
“Pimpinan tertinggi Keadilan hendaklah menangani isu ini dengan segera dan jika krisis ini tidak ditangani dengan kadar yang cepat, ianya akan mengakibatkan krisis dan perpecahan dalam Keadilan itu sendiri.
“MPN Sarawak dengan tegas, tidak akan bertolak ansur sekiranya prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada perjuangan Keadilan sejak sekian lama, dihumban dan dilenyapkan.
”Prinsip ‘satu ahli, satu undi’ kini hanya tinggal slogan semata-mata tanpa pelaksanaan yang sebenar dan hanya sekadar mainan sandiwara beberapa kerat pimpinan Keadilan,” ujar Baru Bian yang juga merupakan Menteri Kerja Raya.
Dalam isu sama, Baru berkata, konvensyen setiap parti politik di seluruh dunia sememangnya mengamal tradisi turun-temurun iaitu Timbalan Presiden itu sendiri yang akan merasmikan kongres sayap parti politik.
“Keadilan telah mengikuti tradisi sedemikian sejak parti ini ditubuhkan. Walaupun diketahui bahawa majoriti dua per tiga pimpinan AMK Pusat yang telah dipilih secara demokratik dalam Pemilihan Parti yang lalu menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden untuk merasmikan Kongres Nasional AMK tersebut, namun kami amat kecewa dengan pengkhianatan tradisi ini,” luah Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau.
Memetik laporan Malaysia Kini pada semalam, kontroversi pembatalan surat jemputan kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Tahunan Pemuda PKR (AMK) 2019 diheret ke isu teknikal selepas kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa bahawa pihak Azmin tidak membalas surat jemputan selepas lebih sebulan dihantar.
“Sepertimana kelaziman, AMK telah menghantar surat rasmi pada 11 September 2019 untuk menjemput Timbalan Presiden YB Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres AMK.
“Namun sehingga ke tarikh mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober yang lalu, pihak sekretariat memaklumkan tidak menerima sebarang jawapan rasmi dari pihak timbalan presiden,” katanya dalam kenyataan semalam.