Konvensyen Nasional AMANAH julung kali anjur pemilihan semua peringkat parti

Konvensyen Nasional AMANAH julung kali anjur pemilihan semua peringkat parti

 

Julung kalinya, Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 akan mengadakan proses pemilihan di semua peringkat parti.

Bagaimanapun, sayap baharu AMANAH iaitu Sayap Wanita Muda AMANAH (WARDA) yang ditubuhkan pada 1 Disember lalu, hanya akan hadir ke konvensyen sebagai pemerhati.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, tiada pemilihan dilakukan untuk WARDA memandangkan pertubuhan itu belum mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Bagi sayap nasional pula, hanya Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) sahaja selesai mengadakan konvensyen, sekali gus membentuk jawatankuasa pimpinan wanita baharu.

“Sementara itu, konvensyen dan pemilihan jawatankuasa pimpinan pemuda AMANAH Nasional akan diadakan pada 4 dan 5 Disember ini di Dewan Komuniti Batu Muda, Kuala Lumpur,” maklum beliau dalam satu kenyataan.

AMANAH akan menganjurkan Konvensyen Nasional 2019 pada 6, 7 dan 8 Disember ini bertempat di IDCC Shah Alam.

Pada konvensyen kali ini, AMANAH akan mengangkat tema ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ sebagai satu naratif perjuangan untuk tahun 2020.

Tema ini dipilih bagi mendokong Wawasan Kemakmuran Bersama yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Abang Kerdee yang memegang jawatan pemangku Setiausaha Agung berkata, seramai 925 perwakilan terdiri daripada 45 ahli jawantakuasa pimpinan nasional, 20 orang daripada AWAN dan 20 orang Pemuda AMANAH dijangka hadir.

Abang Kerdee menambah, seramai 70 orang daripada 14 negeri dan 770 perwakilan daripada 154 kawasan dari seluruh negara turut dijangka hadir.

“Menyentuh tentang usul-usul yang akan dibahaskan di konvensyen kali ini, secara umumnya membincangkan tentang Manifesto Pakatan Harapan (PH), keperluan rakyat dan beberapa isu di peringkat nasional.

“Berhubung dengan perihal pencalonan pada Konvensyen kali ini, Jawatankuasa Pemilihan (JKP) Nasional akan membuat pengisytiharan senarai calon yang bertanding pada 4 Disember ini,” katanya.