Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 berlangsung di Alor Setar dengan kenduri rakyat

Parti Amanah Negara (AMANAH) melangsungkan konvensyen tahunan ke-2 di Alor Setar bermula hari ini dengan program kenduri rakyat di Dataran Harapan Baru Stargate bermula 5 petang ini.

Ianya disusuli dengan Ceramah Mega sempena Rapat Umum Pakatan Harapan Kedah di tempat yang sama yang membariskan pemimpin AMANAH Nasional dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan media, Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengalu-alukan kehadiran seluruh perwakilan termasuk pemimpin, ahli, pemerhati dan rakyat Malaysia ke konvensyen yang berlangsung hingga Ahad, 22 Oktober ini.

“Seperti kita sedia maklum bahawa Konvensyen AMANAH kali ini diadakan dalam suasana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Tentunya konvensyen kali ini sangat penting bagi seluruh ahli dan penyokong parti sebagai medan muhasabah dan bagi mendapatkan pencerahan dan arahan-arahan terkini daripada kepimpinan tertinggi parti,” ujarnya.

“Bersempena konvensyen ini juga satu program Kenduri Rakyat dan Rapat Umum Selamatkan Malaysia akan diadakan pada 20 Oktober, bermula jam 6 petang hingga 11 malam bertempat di perkarangan Wisma Harapan Baru, Stargate yang bakal menampilkan pimpinan utama Pakatan Harapan,” ujar beliau.

Konvensyen yang sepatutnya berlangsung pada 16 dan 17 September lalu ditangguhkan bagi menghormati kemangkatan Sultan Kedah pada 11 September sebelumnya.

Majlis Sambutan Hari Malaysia Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung pada 15 September di Dataran Stargate juga ditangguhkan.

Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 diadakan pada 20 dan 21 Oktober ini di Hotel Royale Signature, Alor Setar, Kedah.

CATEGORIES
TAGS