Malaysia Dateline

Konvensyen NUNJI 2021 buka tirai pada 31 Ogos ini

Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) 2021 akan membuka tirainya pada 31 Ogos depan dengan menampilkan beberapa barisan kepimpinan kanan dalam AMANAH serta pakar-pakar profesional.

Konvensyen yang dianjurkan Akademi Nunji ini akan membincangkan topik besar tentang ‘Pandemik Global Dalam Maqasid Syariah: Pengalaman Malaysia’ yang akan bersiaran secara atas talian melalui aplikasi Zoom.

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang akan memberi ucapan khas untuk julung kalinya sempena Konvensyen NUNJI kali Ke-14.

Menurut poster dikeluarkan Akademi Nunji, antara pembentang utama pada hari itu adalah Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Slot pertama akan menampilkan Dzulkefly bersama-sama dengan bekas Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Exco Kesihatan Selangor; dan Felo Syariah Nunji, Ustaz Ali Muda yang akan mengulas tentang ‘Hifz al-Nafs: Kaedah Menjaga Nyawa Melalui Polisi Kesihatan Awam Yang Berkesan’.

Slot kedua pula akan membincangkan tentang ‘Hifz al-Aql: Kesihatan Psikospiritual Ketika Pandemik’ yang akan dibentangkan oleh Presiden Persatuan Tetap Psikospiritual Malaysia iaitu Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom dan pengulasnya iaitu Konsultan Syariah Telaga Biru, Ustaz Fauwaz Fadzil Noor.

Selain itu Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi yang juga bekas Pengerusi Khazanah Research Institute turut dijadualkan akan menjadi pembentang ketiga dalam Konvensyen selama satu hari itu.

Pembentangan terakhir itu membincangkan ‘Hifz al-Mal: Menggerakkan Ekonomi Pasca Covid-19’ yang turut disertai Pengarah Eksekutif Institute for Research & Development Policy (IRDP), Mohd Akmal sebagai pengulas.

Program ini juga dijadualkan akan berlangsung pada jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

NUNJI adalah inisiatif AMANAH yang menjadi pentas untuk ilmuan dan ahli akademik memperhalusi isu kenegaraan berpaksikan pedoman syarak.