Malaysia Dateline

Konvensyen Nunji: Kerosakan politik Malaysia bermula dengan ‘Langkah Sheraton’

Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) 2021 membuka tirainya pada 31 Ogos  secara Webinar bagi  membincangkan topik besar tentang ‘Pandemik Global Dalam Perspektif Maqasid Syariah: Pengalaman Malaysia’.

Penasihat Nunji, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membentangkan ucaptama di konvensyen yang disertai oleh lebih 400 peserta itu.

Konvensyen ini bertemakan ‘Pandemik Global dalam Perspektif Maqasid Syariah – Pengalaman Malaysia”.

Tiga perbentangan akan dibuat di konvensyen ini iaitu oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Prof Datuk Dr Hatta Shaharom dan Dr Nungsari Ahmad Radhi.

KEBOBROKAN POLITIK MALAYSIA

Dalam ucaptama di pembukaan webinar ini, Dr Mujahid berkata, kebobrokan politik di Malaysia bermula apabila dilaksanakan Langkah Sheraton.

“Langkah Sheraton telah menghantui kestabilan politik negara apabila mandat rakyat tidak dihormati,” kata beliau.

Atas sebab itulah, katanya, kerajaan yang ada ini dilebelkan sebagai mencuri mandat rakyat.

Beliau juga berkata, pembentukan Kabinet yang besar oleh kedua-dua kerajaan selepas Langkah Sheraton, bukan untuk menjaga nyawa sebagaimana yang dikehendaki oleh Maqasid Syariah, tetapi ia dibuat untuk membalas jasa dengan memberikan habuan kepada mereka yang terlibat.

“Kerajaan ini telah lari dari rangka maqasid syariah, sebab itu kita bising,” kata ahli parlimen Parit Buntar itu.

Menurut beliau, Dasar Kesihatan Awam yang dibentuk oleh kerajaan selepas Langkah Sheraton juga tidak menyeluruh tetapi kepada keperluan PKP dan PKP semata-mata.

“Mereka tidak memenuhi keperluan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu FTTIS telah gagal,” katanya.

FTTIS meliputi lima KPI iaitu Finding (Kenal Pasti), Testing (Ujian), Tracing (Kesan), Isolation (Kuarantin) dan Support (Sokongan).

Vaksinasi yang perlahan juga telah menyebabkan banyak yang terbunuh bukan sahaja nyawa bahkan juga ekonomi.