Malaysia Dateline

Konvensyen PH Pulau Pinang bertekad tumbangkan Umno-BN

Ribuan penyokong Pakatan Harapan (PH) menghadiri Konvensyen PH di Seberang Jaya, Permatang Pauh semalam menandakan kesediaan gabungan parti politik itu untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa dan komitmen tinggi bagi mempertahankan kerajaan PH negeri.

Kehadiran empat warna parti tunggak yang mendokong PH mewarnai Dewan SP Arena dengan laungan ‘reformasi, takbir, lawan tetap lawan, bebas Anwar’ dan ‘tolak BN’.

Barisan kepimpinan pusat PH yang hadir dalam Konvensyen PH Pulau Pinang malam tadi.

Pentas konvensyen menjadi rancak dengan kehadiran Pengerusi PH Tun Mahathir, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah serta Timbalan Presiden PH Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pulau Pinang, Marzuki Yahya ketika berucap menyarankan agar rakyat memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada PH.

Malah katanya, semua pihak tidak harus mengikut sentimen dan emosi, sebaliknya mengutamakan usaha untuk membebaskan negara dari cengkaman Umno dan BN.

Marzuki Yahya

“Kita tidak harus mengikut sentimen dan keutamaan harus diberikan dalam usaha menyelamatkan negara tercinta.

“Manakala wang dan dedak yang menjadi pertaruhan setiap kali menjelangnya pilihan raya umum bukan keutamaan yang diperjuangkan oleh PH.

“Sifat kebencian tidak harus ditanam, sebaliknya sifat setiakawan harus diberi prioriti, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, saingan sebenar PH adalah Umno dan BN serta rakan sekutunya dan bukannya sesama komponen dalam PH.

“Dulu ada parti yang mengkafirkan orang Umno, tidak boleh makan sembelihan orang Umno dan pelbagai lagi dakwaan.

“Sebaliknya kini mereka ini pula yang menjadi tongkat untuk menyambung hayat Umno.

“Namun begitu PH tidak merelakan parti sedemikian untuk terus memperalatkan agama untuk kepentingan politik sempit mereka, ” katanya.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Sementara itu Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, perjuangan asas yang terbentuk kini adalah kerana pengalaman memperjuangkan hak rakyat sehingga menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara.

“Perjuangan ini bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan yang besar.

“Kita mesti lihat perjuangan agenda yang dah lama diperjuangkan, perlu ada jiwa besar serta berlapang dada sekiranya serius untuk meraih kejayaan.

“Semua pihak mesti perlu berkorban dengan rasa jujur dan tanggungjawab tanpa adanya perasaan bebal, ” ujarnya.

Katanya lagi, Umno Pulau Pinang mesti dibenarkan berpencen menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Namun begitu untuk memastikan kemenangan ini tidak harus ada mana-mana pihak yang bijak hanya menuding jari.

“Sebaliknya perlu berbincang, besar hati untuk menang serta bersungguh-sungguh.

“Kesungguhan ini mampu untuk memenangkan PH untuk merebut kesemua baki 10 kerusi Umno yang ada di Pulau Pinang, ” tegasnya lagi.

Datuk Mansor Othman

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman pula menegaskan semangat yang ada daripada empat komponen dalam PH perlu digilap dan dipertahankan.

“Sejak 2008 lagi pakatan senantiasa bersama bagi menumbangkan Umno dan BN.

“Kemenangan yang akan kita capai nanti mampu untuk merealisasikan impian mengubah sistem kehakiman, pendidikan serta sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara.

“Selain itu kita ingin demokrasi yang ada iaitu membawa perubahan kepada SPR agar ia menjadi organisasi yang benar-benar bebas dalam mengendalikan sistem pilihan raya dalam negara, ” tambahnya pula.

Ucapan bersemangat juga disampaikan oleh Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Perararakan bendera parti-parti komponen serta negeri-negeri juga turut disempurnakan dengan tepukan gemuruh ribuan hadirin yang hadir sebelum majlis berakhir.

Antara  perwakilan empat parti yang hadir pada Konvensyen PH Pulau Pinang memenuhi ruang dewan SP Arena malam tadi.