Malaysia Dateline

Konvensyen PKR Nasional: Azmin rasmi pembukaan AMK dan Wanita, Wan Azizah rasmi penutup

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan pembukaan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita PKR di Melaka, hari ini.

Pengarah Komunikasi parti itu. Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkn perkara itu selepas mesyuarat Biro Politik Khas PKR di bangunan Parlimen, hari ini, yang turut dihadiri presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin.

Beliau berkata, majlis penutup kedua-dua sayap itu pula akan disempurnakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Jumaat ini.

“Kita baru selesai mesyuarat bagi membincangkan persiapan kongres dan boleh saya maklumkan semua pimpinan akan hadir (kongres) kecuali mereka yang ada urusan rasmi di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi yakin kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai esok hingga Ahad ini akan menzahirkan kekuatan serta keutuhan parti untuk menjayakan agenda reformasi Malaysia Baharu.

“Ini hanya kongres. Kita akan dapat mendengar pandangan semua pimpinan dan dapat lihat hala tuju parti. Insya-Allah PKR akan bertambah kukuh dan kuat,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Mohamed Azmin tidak dijemput merasmikan Kongres Nasional AMK sebaliknya ia akan dirasmikan Dr Wan Azizah.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui hanya menjawab ringkas berhubung hasil mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat baik, kongres baik dan semua dijemput,”  katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham berkata AMK menghargai kepimpinan Anwar dan Mohamed Azmin dalam menyelesaikan isu perasmian Kongres Nasional AMK yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

“Seluruh kepimpinan dan anggota AMK menyambut baik resolusi yang dicapai melalui perbincangan sebentar tadi untuk mengembalikan tradisi dan konvensyen parti,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengalu-alukan keputusan mesyuarat Biro Politik Khas PKR itu.

— BERNAMA