Malaysia Dateline

Konvensyen usahawan Bumiputera tidak perlu, kata Redzuan

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, konvensyen usahawan berteraskan kaum tiada lagi diadakan di negara ini bagi memastikan semua rakyat mendapat hak inklusif.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata, konvensyen usahawan Bumiputera hanya akan disambung jika diperlukan.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengukur pencapaian yang diperoleh dalam kalangan usahawan bumiputera.

“Kecuali tiba masa kita ukur pencapaian itu dan perlu perhatian sekali lagi, mungkin diadakan sekali lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang hari ini.

Menurut Redzuan, konvensyen usahawan Bumiputera selama ini hanya dijalankan sebanyak tiga kali dan terakhir pada tahun lalu.

“Selama 62 tahun merdeka, cuma ia dibuat tiga kali. Jadi, kita hendak lebih inklusif, lebih definitif dengan lebih jelas hala tuju dan sasaran kita.

“Jadi kita hendak rangkumi semua dengan dasar-dasar nasional, dengan ada naratif kemakmuran bersama, pendapat saya, tidak payah lagi kita nak buat khusus konvensyen usahawan Bumiputera,” tegasnya.