Koperasi 1Malaysia sasar wujud cawangan di setiap Parlimen

Koperasi 1Malaysia sasar wujud cawangan di setiap Parlimen

Koperasi 1Malaysia Berhad (K1MB) menyasarkan untuk mempunyai cawangan di setiap kawasan Parlimen seluruh negara menjelang 2020.

Pengerusinya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya menyasarkan 500,000 keanggotaan melalui penubuhan cawangan di 222 kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata inisiatif itu juga akan membuka peluang lebih luas kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi anggota koperasi.

“Hendak menjadi anggota koperasi bukannya mudah kerana bukan semua koperasi bersikap terbuka kerana mereka mempunyai polisi dan dasar tersendiri. Jadi K1MB terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

“Dalam satu Parlimen, kalau hanya ada 50 anggota pun sudah boleh tubuhkan koperasi. Bayangkan kalau ada lebih 2,000 anggota, jadi sasaran 500,000 keanggotaan akan dapat dicapai,” katanya pada Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Koperasi 1Malaysia Berhad di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.

Abdul Fatah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad berkata sasaran itu sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu separuh daripada rakyat Malaysia dalam kalangan dewasa menjadi anggota koperasi menjelang 2020.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Dr Noor Zari Hamat yang mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada majlis itu, turut disampaikan watikah pelantikan kepada 14 wakil negeri K1MB dan pelancaran logo baharu K1MB.

CATEGORIES