Koperasi disaran terbabit sama dalam pembangunan negeri

Koperasi disaran terbabit sama dalam pembangunan negeri

Koperasi di negeri ini disaran supaya mengambil inisiatif untuk terbabit sama secara aktif dalam semua bentuk pembangunan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata penglibatan bersama dalam pembangunan negeri akan memberi peluang besar untuk koperasi berkembang dan berdaya maju.

“Pembangunan ini banyak, termasuk juga yang berbentuk teknologi tinggi. Sebagai contoh, untuk kita membangunkan hab industri penerbangan dan hab maritim di negeri ini, dengan entiti koperasi, ia mungkin lebih mudah untuk mereka bersama dalam proses pembangunan itu.

“Cuma, kemungkinan maklumat tidak sampai. Jadi, pandangan saya ialah kerajaan negeri boleh menyalurkan maklumat kepada koperasi untuk melihat bagaimana mereka mengambil peluang yang ada,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Perkim Negeri Sembilan Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sembilan Zainuddin Mohd Ali dan Pengerusi Koperasi Perkim Negeri Sembilan Bhd Datuk Ali Ab Majid.

Beliau berkata banyak bidang lain yang boleh diceburi koperasi termasuk dalam industri makanan halal yang mempunyai pasaran luas.

“Oleh itu, saya sarankan koperasi di negeri ini mengambil kesempatan untuk mengambil peluang ini,” katanya.

— BERNAMA