Malaysia Dateline

Kor Ming bertindak tidak adil larang Noh Omar hadir dewan, kata Ketua Pembangkang

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Timbalan Speaker Nga Kor Ming sebenarnya tidak adil malah tidak munasabah langsung apabila melarang Tan Sri Noh Omar hadir dewan selama tiga hari.

Beliau berkata, apa yang dibangkitkan oleh Noh semalam merupakan isu di luar Parlimen dan di atas kapasiti Kor Ming sebagai seorang pemimpin DAP.

“Tanjong Karang sebenarnya hanya mahu penjelasan dari Kor Ming dan seandainya dakwaan itu tidak benar, Noh sudah meminta beliau untuk mengambil tindakan saman. Jadi apa salahnya di sini?

“Tetapi apa yang kita lihat hari ini, Teluk Intan mengambil tindakan yang mempertahankan tindakannya di luar Dewan, menggunakan kuasanya dengan membuat petua dan mengeluarkan Tanjung Karang daripada Dewan Rakyat selama tiga hari,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Noh dilarang memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari, berkuat kuasa hari ini, susulan tindakannya yang melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan apabila melemparkan tuduhan terhadap Kor Ming bahawa tidak layak memegang jawatan berkenaan.

Berikutan keputusan itu, kesemua Ahli Parlimen BN dan Pas bertindak memprotes dan keluar Dewan Rakyat ketika Kor Ming mempengerusikan sesi sidang hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said mendesak agar Kor Ming mempertimbangkan keputusannya kerana tindakan penggantungan adalah tidak adil.

“Memang perintah itu menjadi hak kepada Timbalan Yang Dipertua di bawah Peraturan 43 dan 44 cuma agak aneh kerana amalan kita sekiranya Yang DiPertua ingin memberikan petua-petua, Ahli Parlimen yang terlibat perlu berada di dalam Dewan untuk mendengar apakah petua yang ingin disampaikan.

“Tetapi dalam kes ini, Tanjong Karang mesti berada dalam Dewan Rakyat untuk mendengar setiap patah perkataan dan petua yang diberikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Tanjong Karang setelah mendengarnya bolehlah menilai dan meneliti nasihat dan petua itu yang kemudiannya bolehlah menarik balik dan memohon maaf,” jelasnya.

Bagaimanapun Kor Ming menolak cadangan tersebut dan memuktamadkan ‘ruling’ penggantungan itu berkuatkuasa serta merta pada hari ini.