Korban gempa di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,234 orang

Angka korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,234 orang, setakat 1 tengah hari ini.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat berikutan masih banyak kawasan yang belum dapat dimasuki pasukan mencari dan menyelamat.

“Lebih 6,000 anggota pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada anggota tentera, polis dan agensi berkaitan menghadapi pelbagai kekangan untuk memasuki kawasan yang teruk terkesan gempa dan tsunami itu,” katanya.

 Gempa bumi bermagnitud 7.4 menggegarkan Kota Palu dan Donggala yang turut mengakibatkan tsunami pada Jumaat lalu.

Ia disusuli lebih 250 gempa susulan setakat ini.

Kawasan perkampungan di wilayah Tondo, Parimo, Punglere dan Petobo yang ramai penduduk dilaporkan ‘lenyap’, ditenggelami lumpur dan musnah teruk akibat gempa dan tsunami.

Pihak berkuasa Indonesia khuatir ramai penduduk di kawasan itu hilang dihanyutkan tsunami atau tertimbus dalam lumpur, runtuhan rumah dan bangunan.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, berdasarkan perangkaan setakat 1 tengah hari ini, lebih 1,700 rumah dan bangunan musnah dan beratus penduduk cedera.

“Jumlah itu pasti meningkat, pihak BNPB masih menjalankan pendataan.

“Pihak berkuasa kini juga mendirikan Rumah Sakit Sementara (khemah untuk rawatan dan perubatan) di kawasan lapang bagi tujuan rawatan perubatan,” kata Sutopo.

Lebih 30,000 penduduk yang terkesan akibat gempa bumi dan tsunami itu amat memerlukan bantuan air bersih, makanan, selimut dan ubatan.

CATEGORIES
TAGS