Malaysia Dateline

Bendera Korea Utara

Korea Selatan belanja US$12 bilion projek di sempadan menjelang 2030

Kerajaan Korea Selatan akan membelanjakan 13.2 trilion won (US$12 bilion) di kawasan sempadan dengan Korea Utara menjelang 2030.

Menurut agensi berita Xinhua memetik Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan pada Khamis, peruntukan itu termasuk 5.4 trilion won (US$4.8 bilion) dana kerajaan pusat, 2.2 trilion won (US$2 bilion) kerajaan tempatan dan 5.6 trilion won (US$5 bilion) sumbangan sektor swasta yang akan dibelanjakan untuk 225 projek.

Projek itu bertujuan mewujudkan asas pertukaran kerjasama antara kedua-dua negara, pembangunan serantau yang seimbang, merangsang pelancongan ekologi yang aman di kawasan sempadan di samping meluaskan infrastruktur sosial, menurut kementerian.

Pembangunan di kawasan sempadan terbatas atas faktor keselamatan. Sejak lapan tahun lalu hingga 2018 sejumlah 2.8 trilion won (US$2.5 bilion) telah dibelanjakan.

Pelaburan turut menggambarkan perubahan kedua-dua negara dan hubungan antara Korea yang semakin baik, tambah kementerian itu.

— BERNAMA