Korea Selatan gantung operasi Boeing B737 MAX selama tiga bulan

Korea Selatan gantung operasi Boeing B737 MAX selama tiga bulan

Korea Selatan turut mengantung semua penerbangan keluar masuk membabitkan pesawat Boeing 737 MAX selama tiga bulan atas faktor keselamatan, lapor agensi berita Yonhap memetik Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan pada Khamis telah mengeluarkan arahan kepada “Notice to Airmen (NOTAM)” untuk memaklumkan perkara itu kepada juruterbang dan pengendali penerbangan.

“Notis NOTAM akan menyekat sebarang kemasukan pesawat Boeing 737 Max di ruang udara Korea sehingga notis selanjutnya dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan,” kata seorang pegawai kementerian ketika dihubungi.

Langkah itu ekoran dua nahas membabitkan pesawat terbabit, terbaru pada Ahad lalu menyaksikan Boeing 737 MAX milik Ethiopian Airlines terhempas dalam perjalanan ke Nairobi, Kenya, mengorbankan kesemua 157 penumpang. Ia nahas kedua selepas sebuah lagi pesawat dikendalikan Lion Air Indonesia terhempas pada Oktober.

Awal minggu ini, Eastar Jet berkata pihaknya akan menggantung dua pesawat B737 Max 8s.

Syarikat penerbangan tempatan lain yang telah menandatangani kontrak menempah B737 Max 8 tidak akan menggunakan pesawat terbabit dalam operasinya sehingga keselamatan terjamin.

Korean Air Lines Co. telah menempah 30 pesawat B737 Max 8, enam daripadanya dijadual dihantar tahun ini.

Jeju Air Co. pula menempah 40 buah dengan penghantaran bermula 2022. T’way Air Co. menjangka empat pesawat akan dihantar tahun ini.

— BERNAMA