Korea Selatan ikrar bina hubungan lebih baik antara Korea untuk percepat pembasmian senjata nuklear

Korea Selatan ikrar bina hubungan lebih baik antara Korea untuk percepat pembasmian senjata nuklear

Korea Selatan akan terus memperbaik hubungan antara Korea bagi membantu usaha pembasmian senjata nuklear dan pembinaan keamanan di Semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Menteri Penyatuan negara itu.

“Kami pasti akan menggunakan peluang berharga yang datang kepada kami tahun ini untuk merealisasi objektif pembasmian senjata nuklear sepenuhnya dan mewujudkan keamanan yang berkekalan,” kata Cho Myoung-gyon dalam sebuah forum di Goyang, yang terletak di utara Seoul.

“Meskipun hubungan antara Korea semakin meningkat, kami akan berusaha memperkukuh bulatan berbudi antara pembasmian senjata nuklear dan pewujudan keamanan,” katanya.

Cho berkata garisan sempadan tentera di Semenanjung Korea memiliki kubu paling banyak di dunia, namun ia “diperkuat oleh manusia,” yang bermaksud ia juga boleh ditinggalkan oleh manusia.

“Keamanan yang kian meningkat di kawasan sempadan akan memberikan kerjasama saling menguntungkan. Bukan hanya kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan sempadan itu yang selama ini menanggung kerugian akibat perpecahan yang berlaku tetapi juga semua orang di Semenanjung Korea bakal menerima manfaat daripada kemakmuran yang dikongsi bersama,” katanya.

“Kami mempunyai pengalaman menyeberangi sempadan untuk membina keamanan. Sekali lagi, peluang seperti itu ada di depan kami,” kata Cho.

Beliau berjanji untuk menjalin kerjasama rapat dan berkomunikasi dengan kerajaan tempatan serta kumpulan sivik dalam proses itu, dan menyeru kerjasama mereka untuk berkongsi pandangan mengenai pembinaan keamanan di Semenanjung Korea.

— BERNAMA