Malaysia Dateline

Korea Selatan umum pelan tindakan kekeluargaan

Korea Selatan pada Jumaat mengumumkan pelan tindakan untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara itu, termasuk mengurangkan kos membesarkan anak-anak.

Kementerian Kebajikan dan Kesihatan berkata menerusi pelan tindakan itu kerajaan akan mengambil alih perbelanjaan perubatan bagi bayi berusia kurang dari setahun bermula tahun depan.

Kerajaan juga merancang memberikan faedah sama kepada kanak-kanak prasekolah menjelang 2025.

Pada masa ini, kerajaan membayar subsidi bulanan kepada 90 peratus keluarga namun faedah itu tidak meliputi 25,000 daripada keseluruhan 2.53 juta kanak-kanak.

Mulai tahun depan, manfaat itu akan diperluaskan kepada setiap isi rumah tanpa mengira pendapatan ibu bapa selain perancangan menaikan kadar subsidi untuk jangka panjang.

Menurut kementerian itu lagi, dalam usaha membantu mereka yang mengalami kesukaran hamil, kerajaan akan memperluaskan subsidi rawatan kemandulan dan hanya perlu membayar kurang 30 peratus kos rawatan.

Ibu bapa yang bekerja dan mempunyai anak berusia kurang dari lapan tahun pula dibenarkan pulang sejam lebih awal, ia akan dikuatkuasakan mulai separuh kedua tahun depan.

Selain itu, cuti untuk isteri bersalin ditambah dari tiga hari kepada 10 hari selain kerajaan menggalakkan lebih banyak suami mengambil cuti berkenaan.

Kementerian juga akan mewujudkan lebih banyak pusat penjagaan harian kanak-kanak  yang menyasarkan jumlah kanak-kanak di tadika dan taska pada tahun hadapan meningkat sebanyak 40 peratus

Jumlah bayi dilahirkan di Korea Selatan menurun kepada 80,400 pada suku ketiga tahun ini, penurunan sebanyak 9,200 atau 10.3 peratus dari tahun sebelumnya.

Kadar kesuburan negara atau purata bilangan bayi dijangka dilahirkan seorang wanita turut menyaksikan penurunan kepada 0.95 tahun ini mencecah rekod terendah berbanding 1.05 pada tahun lepas.

Ia adalah kadar paling rendah di antara kumpulan 34 negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Kementerian menjangkakan kadar itu akan menurun di bawah satu dengan bilangan bayi baru lahir di bawah 300,000 setahun sebelum 2022.

Ia akan menjadikan Korea Selatan satu-satunya negara mempunyai kadar bayi baru lahir paling rendah.

Sebelum ini, Taiwan, Singapura dan Hong Kong mempunyai kadar yang sama namun  berjaya mengatasinya.

Selaras dengan matlamat itu, tumpuan turut diberikan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif kepada wanita mempunyai anak.

Diskriminasi di tempat kerja kekal menjadi masalah serius, mempunyai anak seolah-olah pengakhiran kepada kepada wanita yang bekerjaya.

— BERNAMA