Korea selatan, UNC masih bincang isu penghantaran ubat antivirus ke Korea Utara

Korea selatan, UNC masih bincang isu penghantaran ubat antivirus ke Korea Utara

Korea Selatan dan Pemerintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) masih membincangkan mengenai penghantaran ubat antivirus ke Korea Utara, isu yang sekian lama tertangguh, lapor agensi berita Yonhap.

Kementerian Perpaduan pada Rabu berkata penghantaran mungkin akan dapat dilakukan tidak lama lagi.

“Terdapat kelewatan berhubung penghantaran ubat influenza ke Korea Utara kerana isu teknikal dan praktikal, tetapi masalah ini hampir selesai,” kata jurucakap kementerian Baik Tae Hyun pada satu taklimat media.

“Kami kini sedang berbincang dengan UNC (mengenai peruntukan ubat). Kami juga berbincang dengan Korea Utara untuk menetapkan tarikh penghantaran,” katanya.

UNC berperanan memantau gencatan senjata di Semenanjung Korea dan mengawasi sebarang urusan penghantaran melintasi sempadan. Sebarang penghantaran melintasi sempadan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada UNC dalam tempoh 48 jam.

Pada Disember, kerajaan mengumumkan pelan untuk menghantar 200,000 dos Tamiflu dan bahan perubatan lain ke Korea Utara, yang awalnya dijadualkan pada 11 Jan dan masih tertangguh sehingga hari ini.

Kementerian tidak mendedahkan punca kepada penangguhan, namun laporan menyebut Seoul dan Washington membincangkan kemungkinan pelanggaran sekatan jika trak digunakan untuk mengangkut ubat-ubatan itu.

Terdahulu, seorang pegawai kementerian luar negara berlepas ke Amerika Syarikat untuk berunding mengenai perkara terbabit.

Dilaporkan kira-kira 150,000 orang Korea Utara disahkan dijangkiti influenza sejak penghujung 2017 hingga awal 2018.

Pada 2009, Seoul menyediakan sekitar 400,000 dos Tamiflu dan 100,000 dos antivirus Relenza ke Korea Utara.

— BERNAMA