Korea Utara, AS setuju sambung semula rundingan nuklear 5 Oktober

Korea Utara, AS setuju sambung semula rundingan nuklear 5 Oktober

Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju menyambung semula rundingan nuklear peringkat kerja mereka minggu ini, lapor media rasmi Pyongyang pada Selasa memetik kenyataan seorang diplomat kanan.

Naib Menteri Luar Pertama Choe Son Hui berkata Washington dan Pyongyang bersetuju mengadakan “hubungan awal pada 4 Okt dan rundingan peringkat kerja pada 5 Okt,” menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan Agensi Berita Korea Pusat (KCNA).

Choe tidak menyatakan venue rundingan itu.

“Delegasi Korea Utara bersedia mengadakan rundingan peringkat kerja Korea Utara-AS,” kata Choe dalam satu kenyataan.

“Saya menjangkakan bahawa rundingan peringkat kerja itu akan mempercepat perkembangan positif dalam hubungan Korea Utara-AS,” katanya.

Pyongyang baru-baru ini meluahkan hasrat untuk kembali berdialog selepas melalui tempoh ketegangan akibat reaksinya yang berang dengan latihan ketenteraan bersama antara Washington dan Seoul pada Ogos.

Seoul menyambut baik cadangan untuk menyambung semula dialog antara kedua-dua negara.

“(Korea Selatan) mengalu-alukan persetujuan antara Korea Utara dan AS untuk mengadakan rundingan peringkat kerja pada 5 Okt,” kata Ko Min Jung, jurucakap pejabat presiden Cheong Wa Dae (Rumah Biru) dalam pesanan ringkas yang dihantar kepada pemberita.– BERNAMA