Malaysia Dateline

Korea Utara berdepan cabaran kemanusiaan serius, sekatan jejas bekalan perubatan

Keadaan kesihatan di Korea Utara “amat membimbangkan” kerana sekatan global multilapisan ke atas rejim itu kini menjejaskan bekalan perubatan negara tersebut, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai Palang Merah Korea Utara.

Ri Ho Rim, Setiausaha Agung Palang Merah Korea Utara, berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menerusi laman sesawangnya.

“Keadaan kesihatan amat membimbangkan. Kesan sekatan ke atas ubat-ubatan asas adalah teruk,” katanya.

“Sebagai contoh, kekurangan vaksin, ubat antivirus, kit ujian pantas, peralatan perlindungan peribadi bagi petugas kesihatan dan pensanitasi tangan merupakan faktor utama dalam penularan sejenis influenza pada awal tahun ini.”

Menurut anggaran IFRC, kira-kira 10.3 juta orang di Korea Utara kini menderita akibat makanan yang tidak terjamin, malnutrisi dan kekurangan akses kepada perkhidmatan asas.

Bencana alam yang berulang seperti gelombang haba, taufan, banjir dan tanah runtuh pada 2018 telah memburukkan lagi cabaran kemanusiaan yang teruk di Korea Utara.

Menambahkan lagi kesengsaraan, IFRC berkata sekatan global ke atas Korea Utara telah dipersalah sebagai punca melengah-lengahkan bekalan ubat-ubatan penting kepada penduduk Korea Utara, yang dikatakan telah menyebabkan satu “kesan serius” terhadap keadaan kesihatan di sana.

“Sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara bukan bertujuan menyekat aktiviti kemanusiaan atau mendatangkan akibat yang buruk kepada penduduk awam,” kata organisasi itu.

“Namun begitu kelewatan berlaku disebabkan persepsi bank, pembekal dan para pegawai yang menganggap bahawa mereka berisiko melanggar perintah sekatan. Kesemua kelewatan ini mempunyai kesan yang serius terhadap penduduk yang sudah lemah,” katanya.

Meskipun hubungan antara Korea semakin mesra susulan kewujudan tiga sidang kemuncak antara pemimpin kedua-dua negara tahun ini, bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara tidak disambung semula.

Tahun lepas, kerajaan Seoul mengumumkan satu pelan untuk memperuntuk US$8 juta bantuan kepada Korea Utara menerusi agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa, namun ia tidak dilaksanakan lagi susulan kemajuan kecil yang dicapai dalam rundingan pembasmian senjata nuklear dan sekatan global sedia ada.

Duta nuklear terkemuka AS, Stephen Biegun, baru-baru ini berkata Washington akan “menilai semula” larangan perjalanan terhadap rakyat Amerika ke Korea Utara awal tahun depan bagi memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan oleh beberapa kumpulan ke negara itu.

Minggu lepas, Korea Selatan melancarkan satu pelan untuk menyediakan Tamiflu, sejenis ubat antivirus, kepada Korea Utara.

Butiran mengenai berapa banyak dan cara ubat itu akan disampaikan dijangka dibincang minggu ini, kata seorang pegawai kerajaan.

— BERNAMA