Malaysia Dateline

Korea Utara hadkan jumlah kemasukan pelawat asing mulai minggu depan

Korea Utara akan mula menyekat kemasukan pelawat asing mulai minggu depan kerana ia kini bergelut menangani lonjakan jumlah pelancong susulan sidang kemuncak pertama Amerika Syarikat-Korea Utara tahun lepas, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan media China pada Selasa.

Korea Utara merancang untuk menyekat jumlah kemasukan pelawat asing ke negara itu kepada 1,000 orang setiap hari mulai Isnin, lapor akhbar milik kerajaan Global Times memetik kenyataan sumber.

Jumlah pelawat asing ke Korea Utara memuncak sekitar bulan Julai dan Ogos tahun lepas, dengan kira-kira 1,800 pengunjung harian secara purata.

Peningkatan itu adalah susulan sidang kemuncak pertama antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jun tahun lepas di Singapura, yang disifatkan pemerhati sebagai membawa perhatian dunia ke negara yang memencilkan diri itu.

“Dalam mendepani ledakan pelancongan yang tidak dijangka, sekatan yang didakwa itu adalah disebabkan keupayaan penerimaan pengunjung Korea Utara yang rendah, dan tidak seharusnya dilihat sebagai satu petanda bahawa negara itu menutup pintunya memandangkan sikap terbuka yang telah ditunjukkan sejak tahun lepas,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut kira-kira 80 peratus warga asing yang berkunjung ke Korea Utara adalah dari China.

— BERNAMA