Malaysia Dateline

Korea Utara: Malaysia mesti kekal berkecuali

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyifatkan Malaysia dilihat seolah-olah condong kepada pihak tertentu dan tidak lagi menjadi negara berkecuali.

Ini berikutan tindakan Korea Utara telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menurut Mohamad Sabu, walaupun Malaysia mengadakan hubungan dengan Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom dalam kerjasama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), tetapi ia tidak menjejaskan pendirian Malaysia yang turut berada di dalam Pertubuhan Negara Negara Berkecuali (NAM).

“Allahyarham Tun Abdul Razak membuat keputusan drastik melawat China pada tahun 1975, sekaligus mengadakan hubungan diplomatik yang erat dengan China. Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan dasar ini perlu dipertahankan kerana ianya memberi faedah kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Sudah tentulah Korea Utara yang mempunyai hubungan rapat dengan China yang menjadi gergasi ekonomi utama dunia perlu diambil perhatian khusus oleh Malaysia supaya dasar berkecuali Malaysia itu diperkukuh dan diperteguhkan,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, Malaysia tidak boleh dilihat condong kepada kuasa dunia tertentu sebaliknya mesti dilihat kekal berkecuali.

Katanya, sekian lama Malaysia memainkan peranan yang berkesan di peringkat antarabangsa disebabkan dasar berkecuali tersebut yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Razak dan diteruskan oleh Perdana Menteri berikutnya.

“Kecuali pada hari ini ia mula dipertikaikan. Semoga Malaysia kembali kepada asas asasnya sebagaimana diamalkan selama ini,” kata beliau.

Korea Utara telahmemutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Kementerian Luar Pyongyang itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.