Korea Utara tukar wakil rundingan menjelang sidang kemuncak kedua Trump-Kim

Korea Utara tukar wakil rundingan menjelang sidang kemuncak kedua Trump-Kim

Korea Utara telah menukar wakil yang bakal menangani rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) menjelang sidang kemuncak kedua antara pemimpin kedua-dua negara, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan sumber pada Selasa.

Wakil baharu itu ialah Kim Hyok Chol, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Korea Utara pertama ke Sepanyol, menurut sumber yang memiliki maklumat berkaitan hubungan Korea Utara dan Sepanyol.

“Ia satu misteri kepada kami,” kata sumber itu kepada Yonhap dengan syarat namanya tidak didedahkan, merujuk kepada pertukaran mengejut interlokutor itu.

Wakil khas As bagi Korea Utara, Stephen Biegun, telah dilantik pada Ogos untuk menerajui rundingan pembasmian program senjata nuklear Pyongyang.

Rakan sejawat Biegun dipercayai adalah Naib Menteri Luar Choe Son Hui, seorang diplomat berpengalaman yang memainkan peranan penting dalam membuat persediaan bagi sidang kemuncak pertama antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada tahun lepas.

Biegun dan Choe bertemu buat kali pertama di Sweden pada hujung minggu, mungkin untuk berbincang mengenai sidang kemuncak seterusnya, yang dirancang pada akhir Februari.

Tidak jelas sama ada Choe masih mempunyai peranan dalam rundingan dua hala itu.

Beliau dan Duta AS ke Filipina Sung Kim telah mengadakan beberapa perbincangan menjelang sidang kemuncak di Singapura pada Jun tahun lepas untuk menghasilkan kesepakatan kepada kedua-dua pemimpin mereka.

Perjanjian itu menyaksikan komitmen Korea Utara untuk melakukan usaha ke arah pembasmian sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan untuk rejim tersebut.

Kim Hyok Chol adalah Duta ke Sepanyol sehingga 2017, apabila beliau diusir dari negara itu susulan ujian peluru berpandu dan nuklear yang dilancarkan oleh Pyongyang.

Chol adalah sebahagian daripada delegasi yang mengiringi Kim Yong Chol, seorang pembantu rapat pemimpin Korea Utara, ke Washington minggu lepas, yang menimbulkan spekulasi bahawa beliau kini bertanggungjawab ke atas isu membabitkan protokol atau hubungan dengan AS di Kementerian Luar Korea Utara.

Pertukaran itu telah didedahkan pada Selasa oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, yang memaklumkan Forum Ekonomi Dunia di Davos bahawa Biegun telah berpeluang bertemu “rakan sejawatnya yang baharu” semasa lawatan Kim Yong Chol ke Washington.

Kedua-duanya telah membincangkan “beberapa isu rumit ke arah mencapai apa yang dibentang oleh kedua-dua pemimpin pada Jun tahun lepas di Singapura,” kata Pompeo.

Rumah Putih telah mengumumkan selepas pertemuan Kim Yong Chol dengan Trump bahawa sidang kemuncak kedua akan diadakan menjelang akhir bulan Februari di sebuah lokasi yang akan diberitahu kelak.

Vietnam telah dilaporkan sebagai berkemungkinan menjadi venue sidang kemuncak itu.- BERNAMA