Malaysia Dateline

Koronavirus: 16 warga asing ditolak masuk ke Sarawak

Seramai 16 individu warga asing ditolak kemasukan ke Sarawak selepas dirujuk dan menjalani pemeriksaan kesihatan di kuanter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pintu masuk udara di negeri ini.

Tindakan berkenaan diambil selepas Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengambil langkah dengan memperketatkan kawalan keselamatan sebagai langkah pencegahan jangkitan Koronavirus Wuhan dengan mengenakan sekatan masuk sementara ke atas warganegara China dan warga asing yang telah mengembara ke China dalam tempoh 14 hari, berkuat kuasa Sabtu lepas.

Jabatan Imigresen Sarawak dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, 16 pelawat warga asing yang disekat masuk ke negeri terdiri daripada 13 warga China, seorang warga Indonesia dan dua warga Hong Kong.

Katanya, daripada jumlah itu, 14 warga asing terdiri daripada lima wanita dan enam lelaki warga China, seorang lelaki warga Indonesia dan dua warga Hong Kong (lelaki dan wanita) ditolak kemasukannya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Daripada 14 pelawat ini, dua wanita warga China ketibaan dari Sabah, sembilan orang juga warga China (tiga wanita dan enam lelaki) masuk secara sosial ketibaan dari Sememanjung.

“Manakala seorang warga Indonesia dan dua orang lelaki dan wanita warga Hong Kong merupakan satu keluarga yang pernah masuk dan keluar China dalam tempoh 14 hari,” tambahnya.

Dalam pada itu, dua lagi pelawat warga asing yang ditolak kemasukannya ke Sarawak di Lapangan Terbang Miri pada 2 Januari jam 9.15 pagi melibatkan seorang lelaki warga China dari negaranya yang masuk secara sosial ketibaan dari Semenanjung, dan di Lapangan Terbang Mulu melibatkan seorang lelaki juga warga China tiba pada 2 Februari 2020 yang masuk sosial dari Guangzhau ke Kota Kinabalu kemudian ke Mulu.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua pelawat itu merupakan antara 519 pelawat pelbagai negara termasuk Malaysia yang pernah ke China yang dirujuk ke kaunter KKM.

“Jumlah itu merupakan yang terkumpul keseluruhan enam kategori pelaporan keluar atau masuk Koronavirus Wuhan dari tempoh 31 Januari hingga 2 Februari 2020 di negeri ini” tegas kenyataan itu.
Attachments area