Malaysia Dateline

Koronavirus: 65 kes dicatatkan bagi jumlah kumulatif PUI

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah kumulatif kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) adalah 65 kes.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka yang diambil kira sejak 10 Januari lalu itu merangkumi 34 warganegara Malaysia, 30 warganegara China dan seorang rakyat Jordan.

“Daripada jumlah 65 kes PUI ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Sementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif (34 warganegara Malaysia, 26 warganegara China dan satu warganegara Jordan.

“Manakala tiga lagi kes PUI (warganegara China), masih menunggu keputusan makmal.

Tiga orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura yang disahkan positif jangkitan 2019-nCoV masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

“Kesemua 17 kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV keempat telah disahkan negatif dan telah dilepaskan dari menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH meminta agensi pelancongan untuk memaklumkan kepada anggota terlibat dan pelanggan yang ingin ke negara China mengenai situasi terkini kejadian wabak penyakit 2019-nCoV serta nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.

“Pengembara yang datang dari negara China perlu dimaklumkan keperluan mengisytiharkan status kesihatan sebelum tiba ke Malaysia.

“Selain itu prosedur keperluan menjalani perintah Pemantauan dan Pengasingan serta isolasi sekiranya bergejala perlu dijelaskan kepada pelanggan.

“Kami akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya,” katanya lagi.