Malaysia Dateline

Koronavirus: 67 orang disyaki di Sarawak sejak 10 Januari

Jumlah keseluruhan kes yang disyaki di Sarawak ialah seramai 67 orang dari sejak 10 Januari sehingga setakat semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPNMS), mereka terdiri daripada 49 rakyat Malaysia, 15 warga China dan masing-masingnya seorang dari warga Thailand dan Indonesia termasuk seorang warga Kanada.

“Kes terbaru yang disyaki semalam ialah melibatkan seorang rakyat Kanada yang tiba di Lapangan Terbang Mulu, Miri.

“Pelancong berkenaan dirujuk ke Hospital Miri selepas menjalani pemeriksaan oleh pasukan Jabatan Kesihatan.

“Daripada jumlah itu, Hospital Umum Sarawak (HUS) mencatatkan jumlah tiga orang diikuti dua di Hospital Bintulu dan selebihnya masing-masing satu di Hospital Sibu dan Miri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuching hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan makmal bagi 51 kes didapati negatif daripada dijangkiti virus tersebut, manakala selebihnya 16 masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Mereka yang menunggu keputusan ujian adalah sembilan rakyat Malaysia (lapan di HUS dan seorang di Hospital Sibu), lima warga China (tiga di HUS) dan dua di Hospital Bintulu), seorang warga Thailand (juga Hospital Bintulu) dan seorang warga Kanada di Hospital Miri,” ujarnya.

Pada masa sama, Jabatan Kesihatan Negeri pada Isnin telah menjalankan pemeriksaan ke atas 5,984 pelawat yang datang ke negeri ini menerusi pintu masuk udara, darat dan laut.

JPBNS turut menyarankan mereka yang jatuh sakit terutamanya demam, batuk dan menghadapi kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.

“Mereka mesti memaklumkan kepada doktor yang merawat mereka mengenai sejarah perjalanan masing-masing.

“Semua doktor harus melaporkan apa-apa kes yang disyaki ke Jabatan Kesihatan Bahagian atau Daerah yang berhampiran menggunakan borang pemberitahuan atau mereka boleh menghantar e-mel kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara di cprc_sarawak.gov.my atau hubungi 082-443248,” tambah kenyataan itu lagi.