Malaysia Dateline

Koronavirus: Elak  berkongsi makanan  dengan orang dikuarantin

Orang ramai yang menjalani kuarantin di rumah diingatkan supaya mengambil langkah mengasingkan diri dan elakkan berkongsi makanan dengan ahli keluarga masing-masing.
Menurut kenyataan Bilik Gerakan Negeri Sarawak hari ini, ia turut menasihatkan mereka yang dikuarantin supaya memakai penutup mulut dan hidung jika perlu ke kawasan umum di rumah, mengekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain serta menghindari tempat awam.
“Sekiranya anda memerlukan makanan atau barangan runcit, sila dapatkan bantuan daripada ahli keluarga yang lain untuk melakukannya.
“Sekiranya tidak mempunyai ahli keluarga, anda mungkin boleh mencuba untuk mendapatkan makanan yang dihantar menerusi pesanan ke depan pintu rumah dan memakai penutup mulut dan hidung serta berdiri pada jarak sekurang-kurangnya tiga kaki (dari orang yang menghantar makanan),” jelasnya.
Kata kenyataan itu, orang ramai juga sentiasa diingatkan supaya membasuh tangan sebelum menerima makanan atau sekiranya terdapat masalah untuk mendapatkan bekalan makanan, boleh berhubung dengan pegawai kuarantin bagi memudahkan urusan.
Tambahnya, orang ramai turut dinasihati supaya menutup mulut ketika batuk atau bersin, sentiasa menjaga kebersihan tangan, meminum banyak air dan mengambil vitamin C dan mengamalkan rehat yang cukup.
“Bagi mereka yang mengalami gejala virus berkenaan harus memakai penutup mulut dan hidung dan pergi ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.
“Jika mereka memerlukan pengangkutan, boleh menghubungi 999 bagi bantuan ambulans.
“Malah Bilik Operasi Negeri juga boleh dihubungi menerusi hotline 24 jam 082-443991,” tegasnya.
Sebagai rekod,  setakat ini terdapat lapan kes koronavirus telah disahkan di Malaysia namun bukan di Sarawak.