Malaysia Dateline

Koronavirus: Fenomena pemindahan gen melintang

Di samping kita diancam dengan serangan wabak novel virus Korona (2019-nCoV) di negara ini, kita juga tidak terlepas daripada serangan satu jenis virus yang tidak korona tetapi ‘wabak virus kona maklumat’ yang begitu banyak melanda di medan maya di negara ini.

Apabila saya meneliti wabak virus kona maklumat saya dapati banyak yang kona baring hysteria maklumat, panik tidak tentu pasal. Contohnya ramai yang menjadi tidak keruan, hilang kawalan diri kerana hanya membaca tajuk berita atau tajuk maklumat yang diterima daripada seseorang netizen dan terus ‘forward’ kepada netizen lain tanpa memeriksa sumber dan membaca dahulu kandungannya.

Walau kita wajip bimbang dengan tularan novel (baharu) koronavirus ini tetapi kita jangan terperangkap dengan sentimen politik atau perkauman (melihat orang Cina tempatan terus takut sebagai pembawa virus dari China). Dan perkara ini sedang dimainkan pembangkang dengan ceria dan gembiranya.

Terdapat beberapa petikan yang saya muatkan daripada kata-kata netizen yang dirasuk hantu maklumat atau telah dijangkiti virus novel kona maklumat seperti “Sekat pelancong China masuk Malaysia” (tidak meneliti rasional kerajaan dan peraturan WHO), “China seksa Mulism Ughyur, padan muka ALLah hantar Coronavirus!”, “Patut menteri kena virus nie. baru cepat bertindak!” “Negara lain dah bertindak. Malaysia lambat”!, “Kerajaan takut sebab China menyumbang kepada ekonomi pelancongan” dan ini semua strategi DAP nak lumpuhkan melayu Islam!”

Mereka ini seolah-olah cakap ikut selera mereka  dan tidak berfikir bahawa ini adalah isu ancaman kesihatan sejagat dan semestinya kerajaan mempunyai strategi dan rasionalnya sendiri.

Kita sebagai netizen seharus matang menyemak dahulu maklumat berkaitan 2019 novel koronavirus yang diterima dan pastikan ia benar sebelum dikongsikan. Inilah juga kata-kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Dalam penelitian saya mengenai maklumat, fakta mahupun palsu, daif, atau pun sahih, tidak terdapat satu pun maklumat yang berbicara mengenai kemunculan wabak baharu daripada transmisi virus silang spesies atau penukar hos ini. Inilah adalah penyebab, sebab musabab dan punca kepada apa yang berlaku sekarang  bukannya virus kona maklumat atau membawang itu.

Fenomena wabak pemindahan gen melintang (horizontal gene transfer) adalah suatu yang tidak pernah dialami dalam sejarah kesihatan manusia kerana ia berhubung dengan spesies virus yang tidak dikenali seperti 2019 novel koronavirus.

Semasa berkerja di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) saya pernah membuat penyelidikan dan menulis artikel ini.

Jika diteliti aspek utama daripada wabak baharu ini ialah pencetus mikrob jangkitan telah berjaya mencari laluan untuk mutasi dan  hidup dalam satu spesies kepada spesies yang lain. Ini yang berlaku kepada 2019 novel koronavirus. Contohnya virus yang lazimnya berada dalam binatang seperti kelawar, monyet, khinzir atau lembu sekalipun berupaya untuk berpindah kepada manusia.

Inilah ancaman terbaharu dan kita tidak tahu apakah jenis virus baharu yang sedang mengancam kita.

Ini kerana selama beberapa dekad sebelum kita digemparkan dengan 2019 novel koronavirus ini, tembok pemecah halangan jangkitan ke spesies lain ini telah muncul dalam kes-kes yang menggemparkan dunia antaranya Penyakit Lembu Gila (Mad Cow Disease) flu burung dan babi (Nipah virus), cacar monyet (monkey pox), Ebola dan SARS (sejenis koronavirus), Virus Nipah, dan SARS. 2019 novel koronavirus bukan yang pertama seumpamanya.

Lazimnya virus dan bakteria tertentu serta mikrob lain ini hanya hidup dalam lingkungan organisme spesifik dan tertentu sama ada dalam tumbuh-tumbuhan,binatang liar, serangga atau manusia sahaja. Dengan lain perkataan mikrob tertentu ini mungkin menjadi “hos spesifik” hidup dalam satu atau beberapa bentuk kehidupan dan tidak berupaya untuk berpindah, mutasi dan  hidup dalam orgnisme lain pun.

Tetapi inilah yang menyebabkan wabak penyakit baharu tercetus apabila virus yang hanya hidup dalam binatang tertentu kini berupaya memecahkan tembok halangan silang pindah, mutasi dan menjangkiti manusia.

Kita ambilah kes HIV yang sampai sekarang tiada pengesahan tentang asal usul HIV yang menyebabkan AIDS tetapi virus ini dikaitkan dengan monyet. Adalah dipercayai dalam kalangan pakar virologi “penyeberangan” virus daripada monyet ke manusia yang membawa kepada AIDS. Dalam kes demam Ebola yang muncul pada 1976, pembawa virus masih tidak dapat dikenal pasti. Pembawa virus diandaikan binatang dan sekali lagi penyeberangan virus daripada binatang ke manusia semakin kukuh dan dipercayai juga menjadi punca kepada kemunculan penyakit Ebola.

Ini juga berlaku kepada Penyakit Lembu Gila atau Mad Cow Disease yang berlaku di Britain sekitar 1990-an. Puncanya dipercayai adalah jangkitan daripada biri-biri (penyaktinya dikenali sebagai Scrapie). Ia dipindahkan ke lembu di mana penyakit ini dikenali sebagai Bovine Spongiform Encephalopathy atau BSE. Agen jangkitan ini dikenali sebagai  protein prion protein, masuk ke dalam daging lembu yang  dimakan untuk mencetuskan penyakit CJD (Creutzfeldt-Jakob Disease).

Ini kerana lembu kurang didedahkan kepada memakan rumput di padang. Lembu banyak berada dalam kandang diberikan antiobiotik dan campuran makanan daging biri-biri

Selama beberapa tahun pihak berkuasa British mempercayai bahawa BSE tidak masuk masuk ke dalam tubuh manusia.Tetapi tidak lama selepas itu, apabila tembok halangan pindahan virus berlaku kerajaan British mengumumkan varian baharu CJD telah menjangkiti manusia yang memakan daging lembu yang terdedah kepada BSE.

Ini adalah tanda-tanda awal sekitar tahun 1990-an amaran yang menunjukkan bahawa pemecah tembok halangan oleh mikrob boleh mencetuskan masalah kesihatan membimbangkan. Mikrob yang lazimnya berada dalam hos organisme yang terbatas atau satu saluran sahaja telah memperluas dan memperkembangkan jajahannya meliputi manusia.

Ini sebagai akibat daripada kemunculan penyakit atau jenis-jenis penyakit baharu yang sukar untuk dirawati. Para saintis juga menyifatkan ia sebagai fenomena pemindahan gen melintang. Apa yang menggusarkan pemindahan gen melintang berlaku bukan sekadar antara spesies binatang ke binatang tetapi daripada binatang ke manusia, berpindah hos.

Selama ini pemindahan gen melintang memang tidak diandaikan berlaku  yang melibatkan spesies organisme yang lebih tinggi seperti manusia misalnya. Ini kerana, menurut Dr Mae-Wan Ho, seorang saintis dari Open University United Kingdom bahawa wujudnya halangan genetik dalam pemindahan antara spesies dan virus dan parasit genetik adalah kepadsa spesies yang spesifik sahaja.

Namun sejak berlakunya penyakit-penyakit seperti CJD dan Ebola, apa yang dianggap sebagai mustahil telah berlaku ialah pemindahan gen melintang menjadi perbualan dalam kalangan saintis.

Dalam pencarian di Google Search mengenai kajian pemindahan gen melintang bahawa sejak 1993-1996 sudah terdapat bukti bahawa wujudnya kajian seumpamanya. Bukti bahawa pemindahan berlaku antara berbagai bakteria, antara fungi, antara bakteria dan protozoa, antara bakteria dan pepohon dan binatang memang berlaku. Terdapat kes terpencil laporan gen telah melompat daripada lalat buah kepada manusia yang mencetuskan penyakit neurologikal.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat beberapa sebab secara umum menyebabkan berlaku pemindahan gen melintang ialah: peningkatan kemiskinan yang membawa pendedahan kepada penyakit. Seperlima penduduk dunia menderitai akibat kemiskinan melampau dan setengah daripada mereka kekurangan capaian kepada ubat-ubatan dan sepertiga kanak-kanak ketiadaan khasiat makanan._

Keduanya, pertumbuhan penduduk dan urbanisasi telah membawa kepada kepadatan penduduk dan keadaan tidak bersih (termasuk kekurangan air bersih dan sanitasi) yang menyediakan tempat kotor sesuai pembiakan virus untuk meletuskan jangkitan penyakit;

Krisis ekonomi dan sosial di kebanyakan negara telah membawa kepada kemiskinan dan kegagalan sistem kesihatan untuk berfungsi. Kesan segeranya ialah kemunculan penyakit yang dahulu dapat dikawal atau sepatutnya dikawal kerana ketiadaan sumber yang mencukupi, Ini tentunya lebih buruk lagi jika tercetus penyakit atau virus baharu yang tidak ketahui bagaimana mengawalnya atau mencari penawar atau ubat untuk menyembuhnya.

Peningkatan dalam perjalanan misalnya pelancongan, perdagangan dan pekerjaan dalam bidang makanan, perdagangan haram dalam binatang liar yang tentunya akan mengeksport penyakit bersamanya yang pantas merebak dan menular.

Perdagangan makanan sejagat mewujudkan ruang baharu kepada jangkitan penyakit untuk berkembang dan membiak seperti perniagaan binatang liar, binatang ternakan. Pengeluaran makanan, penyimpnan dan pemasaran dan perubahan dalam tabiat makanan;

Migrasi dan pergerakan pelarian dan mereka yang tidak terpisah menyediakan tempat yang selesa untuk pembiakan penyakit berjangkit dan penyebarannya;

Pembangunan kawasan habitat manusia mendedahkan berjuta penduduk berisiko kepada patogen yang jarang ditemui atau tidak diketahui yang membawa kepada jangkitan penyakit. Kesannya daripada perubahan iklim mungkin boleh membawa kepada penyebaran beberapa penyakit ke kawasan baharu;

Akhir sekali, ubat antimikrobial telah menjadi kurang berkesan. Mikrob akan terus berubah, bermutasi dan menyesuaikan diri kepada persekitaran, Ini menjadi persoalannya sekarang bahkan dalam hubungannya dengan 2019 novel koronavirus, sejauhmanakah antibodi badan kita dapat bertahan menentang serangan koronavirus ini?

Apakah kelebihan ubat antimikrobial dan antibiotik yang dapat menahan serangan koronavirus, tambahan pula ia adalah virus baharu pula. Atau pakar-pakar kesihatan harus menciptakan ubat penahan serangan virusbaharu kepada  manusia supaya tubuh kita dapat bertahan daripada serangan baharu virus seperti 2019 novel koronavirus ini? Sejauh manakah tubuh dapat membina antibiotic kuat menahan serangan 2019 novel koronavirus ini.

Saya bukanah pakar tetapi menulis berdasarkan pengamatan dan pernah membuat penyelidikan semasa berkerja di CAP dahulu.

Sehingga artikel ditulis, masih tiada kes tempatan pertama. Kita doakan semoga Allah melindungi kita. Ameen!

 

*Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) dan Felo Institut MASA.