Koronavirus: Hazmat Bomba Sarawak sedia bantu KKM

Koronavirus: Hazmat Bomba Sarawak  sedia bantu KKM

Pasukan Unit Berbahaya (Hazmat) Bomba Sarawak bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam operasi ‘nyah sebaran’ susulan kes wabak koronavirus yang kini melanda ke negara ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Khirudin Drahman @Hussaini berkata, pihaknya telah bersiap sedia bersama peralatan dan aset bomba khas untuk tujuan tersebut pada bila-bila masa diperlukan.

Katanya, pasukan Hazmat yang hanya ada di Tabuan dan Bintulu itu mempunyai seramai 58 orang dan kini dalam keadaan bersedia.

“Sekiranya mendapat arahan dari peringkat Ibu Pejabat, pasukan terbabit akan turun membantu pihak KKM di pintu-pintu masuk dan keluar terutamanya lapangan terbang dan pelabuhan di Sarawak.

“Kita juga bersedia dengan keupayaan pasukan Hazmat di Tabuan dan juga Bintulu dalam mengekang penularan wabak Koronavirus menular di negeri ini,” katanya pada sidang media di Kuching pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya sedia membantu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan di peringkat Ibu Pejabat.

“Kelmarin pasukan Hazmat kita telah membantu KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan telah dikuarantin dan kita telah ditugaskan untuk membuat kerja-kerja ‘nyahcemaran’.

“Kita respon dari segi nyahcemaran, bukan respon kepada lokasi tapi nyahcemaran kepada mereka yang masuk dan keluar (pintu masuk negeri) dan kita berdoa agar wabak ini dapat terkawal di pintu masuk negeri dan negara ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Khirudin merakamkan terima kasih dan memuji usaha positif Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang telah melaksanakan langkah awal termasuk pemeriksaan saringan kesihatan kepada pengunjung yang datang ke negeri ini.