Malaysia Dateline

Koronavirus: Jumlah kematian di China cecah 490

Jumlah kes penyakit radang paru-paru disebabkan novel koronavirus di China mencecah  24,324 orang dengan 490 kematian, lapor agensi berita Sputnik memetik jawatankuasa kesihatan negara pada Rabu.

Laporan pada Selasa mengatakan 20,438 orang dijangkiti dan 425 meninggal dunia.

“Menjelang tengah malam 4 Feb, jawatankuasa kesihatan negara menerima maklumat dari 31 wilayah … kira-kira 24,324 kes disahkan penyakit radang paru-paru disebabkan novel koronavirus, seramai 3,219 berada dalam keadaan kritikal, 490 meninggal dunia, 892 orang dibenarkan keluar hospital,” kata jawatankuasa itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 176 kes koronavirus dilaporkan di luar China membabitkan 24 negara dan satu kematian di Filipina.

Novel koronavirus itu pertama kali dikesan di Wuhan, wilayah Hubei pada Disember 2019.– BERNAMA