Malaysia Dateline

Koronavirus: Malaysia, Singapura tubuh Jawatankuasa Kerja Bersama

 Kerajaan Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Bersama berikutan penularan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata jawatankuasa itu diterajui oleh timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan yang diadakan melalui persidangan video dua hala yang melibatkan rakan sejawatnya, Gan Kim Yong dan disertai pegawai kanan kementerian dari kedua-dua belah pihak.

“Objektif penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi memperkukuhkan pelbagai usaha merentasi sempadan dan ia dipersetujui secara bersama.

“Para pegawai kanan dari Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan meneruskan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti rujukan Jawatankuasa Kerja Bersama,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan terkini koronavirus, di sini.

Dzulkefly berkata fokus kerjasama dua hala itu adalah bagi berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan 2019-nCoV ditangani secara berkesan.

“Saringan dan pengurusan kes rentas sempadan Malaysia-Singapura. Penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat antiviral kepada pesakit yang disahkan positif virus itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama berkenaan akan turut mengenal pasti pegawai yang bertanggungjawab di kedua-dua kementerian bagi tujuan komunikasi berkenaan pengurusan kes 2019-nCoV dan pengesanan kontak rapat.

Menurutnya, nasihat perjalanan keluar-masuk antara dua negara itu juga menjadi antara isu yang akan dibincangkan jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat pertamanya yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Malaysia dan Singapura berdepan masalah kekurangan bekalan antiviral 2019-nCoV, beliau berkata kedua-dua negara tidak mengalami situasi berkenaan.

“Tiada kekurangan bekalan antiviral yang timbul dan kedua-dua negara tidak berdepan masalah sebegitu,” katanya.

— BERNAMA