Koronavirus: Orang ramai dinasihati tidak timbulkan panik, patuhi nasihat KKM

Koronavirus: Orang ramai dinasihati tidak timbulkan panik, patuhi nasihat KKM

Ekoran peningkatan jangkitank koronavirus di China yang meningkat kepada 2,744 kes setakat pagi ini, rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mencetuskan suasana panik yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun mengambil tindakan awal menangani kes tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan

“Pemuda AMANAH ingin menasihatkan semua pihak supaya berhubung dengan pihak yang berautoriti untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan isu ini.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan isu ini”, katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah bertenang dan berharap agar keadaan dapat dikawal sebaiknya.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sejak 10 Januari sehingga 26 Januari, jumlah kumulatif kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah 23 kes.

Difahamkan, 14 kes melibatkan warganegara Malaysia, lapan warganegara China dan satu warganegara Jordan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah 23 kes PUI ini, terdapat hanya satu kes yang positif 2019-nCoV iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun.

Sementara itu, 18 kes PUI adalah negatif (12 warganegara Malaysia, 5 warganegara China dan 1 warganegara Jordan) dan telah discaj daripada hospital.

Manakala empat (4) lagi kes (2 warganegara Malaysia dan 2 warganegara China) yang diletakkan dalam isolasi di beberapa buah hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu, daripada 8 orang warganegara China yang merupakan kontak langsung dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura, didapati 3 daripadanya adalah positif iaitu seorang wanita berusia 65 tahun dan dua orang kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 11 tahun.

Terdapat 5 kes yang negatif di mana 4 orang telah pun dihantar pulang ke China manakala seorang lagi menemani anak-anak mereka di hospital.