Malaysia Dateline

Koronavirus tidak jejas usaha kerajaan Kelantan jayakan TMK2020

Penularan jangkitan 2019 Novel Koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia tidak mengekang usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mencapai sasaran 5.5 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK2020).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mej (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman optimis sasaran itu masih boleh dicapai walaupun maklum kehadiran pelancong mungkin sedikit terjejas terutama dari negara terlibat wabak berkenaan.

“Pergerakan individu dari negara terlibat Koronavirus adalah terhad dan sudah tentu kedatangan pelancong juga akan terjejas.

“Bagaimanapun, ada ramai lagi pelancong dari kawasan yang tidak terlibat dengan Koronavirus boleh mengunjungi Kelantan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Promosi TMK2020 antara Konsortium E-Mutiara Berhad dengan Kerajaan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

Pada majlis berkenaan, Konsortium E-Mutiara Berhad dilantik menjadi rakan strategik untuk bersama-sama membantu kerajaan negeri mempromosikan TMK2020.

Md Anizam berkata kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan untuk menyaring pelancong asing yang masuk ke negeri ini.

Dalam pada itu, Che Ibrahim berkata pihaknya sentiasa membersihkan 80 bas syarikat itu yang bergerak ke seluruh destinasi di seluruh semenanjung termasuk kerusi yang diduduki penumpang dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan Koronavirus.

“Setakat ini, dari segi kebersihan, bas kita sentiasa dijaga termasuklah membersihkan kerusi penumpang. Kita telah mengambil langkah-langkah itu dan akan bekalkan topeng hidung dan mulut jika keadaan bertambah buruk.

“Pada tahun lepas kita membawa 1.1 juta penumpang dengan purata kira-kira 92,000 penumpang setiap bulan,” katanya.

Sebanyak 66 festival dijadualkan berlangsung di seluruh jajahan di Kelantan sepanjang TMK2020.– BERNAMA