Malaysia Dateline

Koronavirus: Tingkatkan kesedaran pencegahan dalam kalangan masyarakat

Pemuda AMANAH Nasional menyarankan supaya tumpuan semua pihak untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam berdepan wabak koronavirus perlu dipertingkat dengan bertindak secara serius terhadap langkah pencegahan terutamanya dalam kalangan masyarakat awam.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, meskipun jumlah pesakit yang disahkan positif jangkitan Koronavirus di negara ini dilihat masih rendah iaitu 15 kes berbanding lebih 34 000 kes di China, tetapi rakyat Malaysia perlu sedar bahawa penularan wabak ini begitu pantas dan telah meragut lebih 700 nyawa di seluruh dunia.

“Negara kita tidak terkecuali daripada menjadi serangan wabak sekiranya rakyat tidak mengambil langkah pencegahan dan menitik beratkan soal kebersihan kerana sehingga kini penularan wabak ini masih terus berlaku.

“Jika dilihat daripada statistik negara yang terlibat, 6 daripada 28 negara yang dilaporkan mempunyai kes positif terhadap jangkitan ini adalah dari rantau Asia Tenggara dengan Singapura mencatat kes terbanyak iaitu 30 diikuti Thailand sebanyak 25 kes.

“Ini menunjukkan potensi untuk virus ini terus merebak adalah membimbangkan dan langkah memastikan supaya negara ini bebas daripada wabak Koronavirus perlu dipergiat,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun jelas beliau, Pemuda AMANAH memuji inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan dan juga swasta yang telah mengambil langkah pro aktif mengawal keadaan sehingga diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ujarnya, pasa masa sama, semua pihak diminta untuk tidak menyebarkan berita tidak benar berkaitan wabak ini bagi mengelakkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Rakyat dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan terkini daripada KKM berkaitan wabak ini,” tambah Exco Komunikasi, Multimedia, dan NGO Negeri Perak itu.

Sehubungan itu katanya lagi, Pemuda AMANAH menggesa agar kempen pencegahan wabak Koronavirus terus dipergiat dan dilakukan dengan kerjasama semua pihak termasuk di sekolah-sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai seperti di pasar raya dan tempat-tempat tumpuan pelancong sebagai satu tanggungjawab sosial kita bersama.