Malaysia Dateline

Koronavirus: TLDM prihatin terhadap aspek kesihatan warga kerja

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) amat prihatin terhadap kebajikan warga kerjanya khususnya dari segi aspek kesihatan.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut memaklumkan, pemantauan rapi terhadap warga kerja mereka sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Diharapkan tiada sebarang penyebaran maklumat yang tidak sah atau palsu disalurkan berkenaan koronavirus yang melibatkan projek Littoral Mission Ship (LMS) sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.

“Sebagaimana sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah menandatangani Kontrak Perolehan 4 buah LMS dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 17 melibatkan kesemua 4 buah kapal dibina di Wuhan, China.

“Bagi tujuan pemantauan projek pembinaan kapal di Wuhan, TLDM telah menubuhkan Pasukan Projek LMS TLDM (PPLMS TLDM) sejak 8 Jul 17 yang dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat.

“TLDM juga telah menghantar 45 orang Bakal Warga Kapal LMS Kedua (SUNDANG) sejak 5 Nov 19 ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang SUNDANG ke Malaysia pada pertengahan April 2020.

“Justeru itu, jumlah warga TLDM yang terlibat secara terus dengan projek ini adalah seramai 57 orang,” maklum kenyataan itu hari ini.

Menurut Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang telah pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Jan 20 manakala baki 15 orang lagi masih berada di Qidong, Shanghai.

“TLDM sentiasa berhubung dengan warga dan memantau perkembangan terkini di China. Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan Koronavirus (2019-nCoV) yang melibatkan warga TLDM.

“Walau bagaimanapun sebagai langkah keselamatan TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota ini ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Pengurusan Tertinggi TLDM memandang serius terhadap isu penularan Koronavirus (2019-nCoV) yang sedang berlaku di negara China,” kata kenyataan itu lagi.