Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menyangkal dakwaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa bahawa projek Pan Island Link1 atau PIL 1 sebagai suatu pembaziran.
Malah katanya lagi, objektif utama projek PIL 1 adalah bagi mengatasi kesesakan trafik bagi tempoh yang panjang sehingga 2035.
Jelasnya, anggaran kos pemajuan projek tersebut sebanyak RM7 bilion adalah suatu keperluan bagi jangkamasa panjang serta merangkumi pelbagai aspek.
“Pelbagai perunding telah dilantik bagi memastikan projek ini berjaya termasuklah kajian dan kerja-kerja teknikal yang dilaksanakan.
“Selain itu Jabatan Alam Sekitar juga telah memberi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA) kepada kerajaan negeri.
“Ia juga turut menetapkan sebanyak 56 syarat yang perlu diikuti oleh kerajaan negeri, ” ujarnya.
Chow yang juga merupakan Adun Padang Kota juga berkata, projek ini amat perlu direalisasikan bagi mengatasi masalah kesesakan bagi jangkamasa panjang.
“Sekiranya projek ini tidak dapat disempurnakan maka ia akan memberi kesan lalu lintas yang amat kritikal sekali.
“Tanpa projek ini ia akan memberi impak yang amat negatif kepada kedudukan ekonomi negeri ini.
“Tidak dapat dinafikan sekiranya ia gagal maka hasil dan produktiviti akan turut terjejas apabila kesesakan lalu lintas tidak dapat diatasi, ” tegasnya lagi.
Adalah difahamkan kerja-kerja tanah bagi PIL 1 tersebut akan bermula pada bulan Julai tahun hadapan sehingga Jun 2026.
Sebelum ini beberapa bantahan telah pun diadakan oleh beberapa NGO dan meminta supaya kerajaan negeri mengkaji semula projek tersebut.
Projek ini juga mendapat kritikan beberapa pihak kerana didakwa pembinaannya akan turut menjejaskan taman awam selain bahan letupan yang didakwa akan digunakan bagi membina terowong merentasi bukit.